Tawar-menawar bermula, Shahrel Fikri dan Kpah Sherman antara yang panas

Selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pembatalan Piala Malaysia Khamis lalu, bermakna secara rasminya menutup tirai musim suram saingan Liga Malaysia (Liga M) 2020 di tengah-tengah penularan COVID-19.

Justeru, ketika ini semua kelab sudah mula sibuk dengan merangka persiapan pasukan untuk musim depan terutama dalam memancing pemain baharu dan melepaskan pemain yang ada.

Dalam erti kata lain, pasaran tawar-menawar pemain sudah mula dibuka secara rasmi dengan majoriti kontrak pemain Liga M akan berakhir hujung bulan ini.

Sehingga kini, Selangor dilihat menjadi pasukan paling ligat melakukan kerja apabila dilaporkan sedang berusaha membawa masuk beberapa muka baharu bagi memperkuatkan skuad Red Giants musim depan.

Malah, mereka turut dilaporkan akan melepaskan beberapa tonggak termasuk kapten, Taylor Regan, Syazwan Zainon, Rufino Segovia, K Sarkunan, K Prabakaran dan Nor Hakim Hassan.

Spekulasi kini bertiup kencang menyatakan penyerang Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi akan menyarung jersi Red Giants bagi saingan musim depan.

Pengurus pasukan Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada khabar angin itu benar atau sebaliknya.

“Kami perlu menghormati semua pihak, tunggu saja jika ada pengumuman rasmi. Selangor mungkin akan mengekalkan 80 peratus skuad sedia ada.

“Pihak pengurusan juga sedang berunding dengan beberapa pemain yang sedia ada dalam skuad ketika ini,” katanya.

Namun, menurut sumber rundingan Shahrel atau lebih dikenali sebagai Eky dengan Selangor sudah selesai dan hanya menunggu masa untuk membuat pengumuman rasmi.

Selain Shahrel, Selangor juga dikaitkan dengan pemain sayap dari Uzbekistan, Dostonbek Khamdamov yang mungkin akan mengisi kuota import Asia menggantikan Regan.

Bukan sahaja Selangor, pasukan lain juga sudah berkira-kira untuk memantapkan pasukan masing-masing dengan mengadakan rundingan sama ada dengan pemain sedia ada mahu pun pemain baharu.

Pendatang baharu Liga Super musim depan, Kuala Lumpur juga tidak ketinggalan dalam mempersiapkan pasukan mantap dengan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa menjelaskan pihaknya akan mengadakan rundingan dengan semua pemain.

“Pembatalan Piala Malaysia membolehkan kami menumpukan fokus untuk persiapan musim depan. Kami akan bincang dengan pemain dan sudah pasti akan melakukan langkah memperkuatkan lagi pasukan untuk bersaing dalam Liga Super.

“Kemungkinan juga kita akan mengambil beberapa pemain muda berpotensi dari skuad Piala Presiden untuk diserapkan ke pasukan utama,” katanya.

Selain itu, pertahanan import Kedah, Shakir Hamzah turut membayangkan akan meninggalkan pasukan Lang Merah.

“Selamat tinggal 2020. Terima kasih Kedah untuk segala memori,” kata Shakir di Instagram miliknya.

Gandingan berbisa di bahagian serangan Kedah, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre juga dikhabarkan turut menjadi sasaran pasukan lain untuk musim depan.

Sherman dikatakan berada dalam radar Selangor, sementara Kipre terpalit spekulasi akan menyertai Perak.

Sekiranya mendapat tawaran lebih lumayan, Kedah mungkin terpaksa melepaskan dua penyerang itu selepas pengurusan Lang Merah sebelum ini memberi bayangan akan membuat pengurangan kos terutama dari aspek pembayaran gaji.

COMMENTS