PKR sedia terima Dr. Maszlee Malik perkuat parti?

Dr. Maszlee sebelum ini terkait dengan kontroversi berhubung penyebaran satu dokumen sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Akuan bersumpah (SD) yang dikatakan ditandatangani Maszlee menyokong Anwar sebagai perdana menteri tersebar di tengah-tengah kemelut politik negara.

Namun, ketika ditanya berhubung perkara itu, Maszlee enggan menjawab secara langsung tetapi mengulangi fokusnya untuk isu pendidikan dan penduduk di kawasannya.

Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai adakah PKR merupakan parti politik yang ideal untuk dia menyertainya, dia berpendapat bahawa tidak adil bagi dirinya untuk membuat perbandingan antara parti yang terbaik untuk disertainya.

“Kita (negara) mempunyai banyak parti yang menarik dan banyak parti yang mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing,” katanya.

“…Saya rasa tak adillah saya katakan parti ini lebih baik daripada yang lain,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai spekulasi yang timbul selepas menarik diri dari Pejuang, dia menceritakan bahawa dia menerima pelbagai spekulasi yang mengatakan dia akan menyertai DAP, Amanah dan PAS atas beberapa alasan tertentu.

“Malah tidak kurang juga ada yang mengatakan perlunya saya untuk menyertai Umno pula.

“Jadi pada saya spekulasi… sebahagian daripada perkara yang menghiburkan rakyat.

“Jadi saya tidak boleh menghalang imaginasi setiap orang untuk bersikap begitu,” katanya.

Sumber Berita : MalaysiaKini

COMMENTS