Hampir 200 bot nelayan Indonesia diusir dari perairan Malaysia sejak Mac

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Perak mengusir sebanyak 199 bot nelayan Indonesia dari perairan negara sejak Mac lepas, selepas dikesan menceroboh dan menangkap ikan di perairan Perak.

Pengarah APMM Perak Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata terbaharu pihaknya mengusir 40 bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan di beberapa kedudukan sekitar 28.5 hingga 30 batu nautika barat laut Pulau Jarak, dekat sini, semalam.

Katanya kesemua bot yang setiap satunya mempunyai empat awak-awak dan seorang tekong dikesan oleh Kapal Maritim (KM) Rawa yang sedang melaksanakan Op Benteng di perairan negeri.

“KM Rawa memberi amaran keras agar semua nelayan itu menghentikan aktiviti penangkapan ikan dan keluar dari perairan Malaysia. Ia kemudian mengiring kesemua bot nelayan Indonesia itu hingga ke sempadan maritim Malaysia-Indonesia bagi memastikan mereka tidak berpatah balik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahrizan berkata tindakan pengusiran keluar bot nelayan asing dari perairan Malaysia bertujuan menyekat penyebaran wabak COVID-19 menerusi warga asing serta membantu Kementerian Kesihatan menurunkan graf kebolehjangkitan dalam kalangan rakyat.

Katanya aset-aset APMM Perak akan terus meningkatkan rondaan dan pengawasan terutamanya di titik panas berhampiran persempadan maritim negara dengan negara jiran untuk menyekat pendatang asing dan bot-bot nelayan asing daripada terus menceroboh dan memasuki negeri Perak.

Beliau turut meminta komuniti maritim menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan nelayan asing, pendatang tanpa izin serta kegiatan jenayah yang dikesan dalam perairan Perak selain memastikan bot mereka dalam keadaan baik serta selamat sebelum memulakan sesuatu aktiviti di laut.

— BERNAMA

COMMENTS