Doa kekal istiqamah, Ika Nabella kini berhijab

Bukan mahu berahsia, sebaliknya, pelakon, Ika Nabella, 31, masih membiasakan diri dengan penghijrahannya.

Disebabkan itu, awalnya, Ika atau nama sebenarnya, Ika Nabila Abdul Rahim agak keberatan berkongsi dan mengumumkan dirinya sudah berhijab, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ika berkata, sudahnya masanya berkongsi berita baik, apatah lagi sering memuat naik gambar yang sudah bertudung, sejak akhir ini.

“Saya takut nak cakap ia satu penghijrahan. Jika betul ini penghijrahan, saya harap ia berkekalan dan saya kekal istiqamah. Doakan yang terbaik untuk saya supaya perubahan ini kekal sampai bila-bila,” katanya kepada BH Online.

Pelakon Bahagia Bukan Bidaan itu berkata, dia sudah lama berhijab, tetapi tidak dikongsikan dalam laman sosial.

“Saya tak berniat untuk membuat pengumuman, tetapi apabila ramai bertanya, saya rasa perlu beritahu.

“Jika diikutkan, saya sudah lama berhasrat mahu bertudung, tetapi sebagai manusia biasa, banyak sangat hal duniawi yang difikir hingga membantutkan niat dan membuat hati berbolak-balik.

“Namun, sekarang adalah masanya untuk saya menjadi insan, isteri dan ibu yang lebih baik,” katanya.

Ika berkata, bapa dan suaminya, Muhammad Zaid adalah insan yang paling gembira dengan penghijrahannya itu.

Mengulas dorongan penghijrahannya itu, Ika berkata, keluarganya adalah pendorong utama untuk melihatnya menjadi wanita lebih baik.

“Apabila sudah kahwin dan cahaya mata, saya gembira dengan kehidupan, walaupun serba serbi sederhana. Saya dapat apa yang diingini. Dahulu, saya mahu kahwin, dapat berkahwin. Kemudiannya mahukan sangat zuriat, Alhamdulillah dikurniakan zuriat. Saya tak pernah rasa bosan dengan hidup.

“Jadi apabila difikir semula, tiada benda lagi yang menghalang saya untuk meneruskan niat berhijrah ini.

“Saya sering mengikuti kelas agama. Guru selalu mengatakan, Allah bagi walaupun murka. Jadi, saya tak mahu Allah murka dengan saya. Saya tak mahu tergolong dalam istidraj. Kalau boleh saya mahu sehabis baik untuk menjadi manusia lebih baik,” katanya.

Wanita kelahiran Pulau Pinang itu berkata, dia kini sudah menginjak usia 31 tahun.

“Saya rasa masa pun makin lama makin singkat.

“Saya mahu menjadi isteri sempurna dan ibu yang boleh memberikan memori baik untuk anak. Saya mahu anak saya mempunyai memori baik mengenai saya, ibunya yang baik, menutup aurat dengan sempurna dan menjaga solat. Saya mahu menjadi contoh untuk anak,” katanya.

Ibu kepada Muhammad Noah Zayn itu berkata, dia tidak menafikan melihat rakan dalam industri yang berhijrah menjadi salah satu dorongannya untuk berbuat demikian.

“Sebelum ini, saya selalu fikir jika bertudung macam mana nak berlakon, produksi okay atau tidak dengan pilihan saya. Tetapi, sekarang saya tengok okay sahaja.

“Lagipun, sekarang saya lihat ramai rakan artis yang sudah berhijrah. Saya tengok mereka jauh lebih cantik dan popular. Mereka boleh berhijrah dan berubah menjadi lebih baik, mengapa tidak saya?

“Saya bersyukur dengan adanya sosial media di mana saya banyak mengikuti orang yang positif. Mereka sangat memberikan inspirasi, itu juga salah satu sebab mendorong saya berhijab,” katanya.

Mengulas tawaran lakonan dengan penampilan baharu, Ika berkata, dia ada menolak beberapa tawaran yang sudah diterima sebelum ini.

“Ada terima dua tawaran drama bersiri, tetapi waktu ditawarkan saya tak bersedia memberitahu saya sudah berhijab. Jadi, saya terpaksa tolak tawaran.

“Sekarang, saya tenang apabila dapat berkongsi mengenai penghijrahan ini. Saya harap sesiapa sahaja yang mahu bekerjasama tahu saya sudah berhijab. Jika berlakon, saya mahukan watak bersesuaian dengan imej sekarang,” katanya.

Berita penuh : BHarian

COMMENTS