Ah Long ditahan, kurung mangsa langgar perjanjian kad ATM

BUTTERWORTH, 9 Nov — Polis menahan lima lelaki disyaki Ah Long haram yang bertindak mengurung, memukul dan mengugut seorang mangsa lelaki, ekoran melanggar syarat perjanjian kad mesin juruwang automatik (ATM) dalam operasi pada 7 Nov lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan terhadap lima orang lelaki warga tempatan itu, dilakukan selepas menerima aduan seorang pengadu pada 6 Nov, mengatakan adiknya telah ditahan suspek berkenaan.

“Serbuan di sebuah rumah dekat Sungai Petani, Kedah dilakukan pada 7 Nov kira-kira jam 4.30 petang, dan menahan kesemua suspek selain menjumpai mangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengaku telah mengurung serta memukul mangsa kerana melanggar syarat dengan membuat kad ATM baru dan mengeluarkan wang daripada akaun tersebut tanpa kebenaran.

“Mangsa kemudiannya dipanggil untuk berbincang dengan salah seorang suspek berkenaan di rumah tersebut namun, sebaliknya beliau dikurung, dipukul, diugut dan diminta untuk melunaskan hutang sebanyak RM3,000,” katanya.

Noorzainy berkata, polis telah merampas sejumlah kad ATM, senjata berbahaya seperti parang, batang besi, pedang buatan sendiri serta beberapa telefon bimbit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan sebatan atau dengan mana-mana daripada seksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata polis turut berjaya menumpaskan satu aktiviti pengedaran dadah didalangi warga tempatan dan merampas dadah bernilai RM40,729, menerusi satu serbuan di sebuah pangsapuri dekat Jalan Harbour, di sini, 6 Nov lalu.

Beliau berkata aktiviti pengedaran dadah itu melibatkan dadah jenis pil ekstasi, ketamin dan jus minuman Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) mengandungi dadah.

“Menerusi operasi tersebut, polis telah berjaya menahan tiga orang lelaki dan seorang wanita berumur di antara 26 hingga 43 tahun.

“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga suspek lelaki itu merupakan pemandu e-hailing, manakala suspek wanita merupakan pekerja di sebuah restoran pub di Butterworth, dan polis percaya suspek wanita turut menjalankan aktiviti mengedar dadah di tempat kerjanya,” katanya.

Katanya, rampasan dadah tersebut disyaki untuk dijual dalam pasaran tempatan dan boleh dibekalkan kepada 876 orang penagih dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek lelaki itu positif dadah, manakala suspek wanita didapati negatif. Polis turut merampas dua buah kereta jenis Honda City dan Toyota Prius dengan anggaran harga semasa bernilai RM80,400,” katanya.

Noorzainy berkata kesemua suspek direman selama lima hari sehingga 10 Nov ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

COMMENTS