Isu daging import: Kalau yakin makan la daging tu- Menteri Agama

Orang ramai berhak untuk membuat pilihan sama ada mahu terus memakan daging import atau sebaliknya, bergantung kepada keyakinan masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta mufti sudah memberi kenyataan dan pandangan masing-masing serta ia dibahaskan di Dewan Negara.

“Sebahagian (daging halal) telah disahkan semalam (Selasa) oleh KPDNHEP dan jawapan itu sudah boleh kita ambil kira.

“Jadi pandangan yang dikemukakan samahah-samahah, lebih kepada untuk ikhtiar atau pun mengambil jalan berhati-hati.

“Tetapi apabila disahkan oleh sebahagian daripada pihak berwajib yang menyertai dan membuat kajian dan telah masuk dalam Parlimen semalam melalui Dewan Negara, dan ada usul khas yang dijawab dengan tuntas oleh Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid, ia memberi jawapan yang melegakan kita semua.

“Bagaimanapun, sekiranya masih was-was, mereka perlu menghindarkan apa yang menjadi keraguan kepada apa yang tidak menjadi keraguan. Saya berdoa kepada Allah SWT supaya isu ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya,” katanya.

Berita semasa |Rakyat makan daging tak halal, Pihak mana yang akan tanggung dosa???

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Zulkifli berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim yang menyarankan orang ramai supaya menggunakan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit diperakui sepenuhnya.

Menurut Zulkifli, Jakim sudah mengeluarkan pelan tindakan bagi menangani isu keraguan status halal daging import seterusnya menambah baik kelemahan yang ada selain merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu pengurusan halal.

Baca berita ini |Jangan bimbang jika termakan daging haram- kata Ulama PAS

Beliau berkata, Bahagian Pengurusan Halal dan Sekretariat Majlis Halal Malaysia juga akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan selain pengimport dan pengedar daging pada awal bulan depan.

Terdahulu, Zulkifli memberi sumbangan Inspirasiku kepada 593 penuntut UniSZA berjumlah RM296,500.

Program hasil kerjasama antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan UniSZA menyalurkan sumbangan berbentuk wang tunai ke akaun universiti bagi membayar yuran pengajian dan lain-lain.

Sehingga kini, bagi bantuan persekolahan, YaPEIM menyantuni 52,745 keluarga (99,469 orang anak) dengan jumlah peruntukan RM6.85 juta manakala bagi bantuan di peringkat institut pengajian tinggi (IPT), 12,743 penuntut menerima manfaat dengan peruntukan RM6.37 juta.

–Hmetro

COMMENTS