Tutup sekolah dan universiti bukan penyelesaian, KPM dan KPT dikecam tiada idea

Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu memastikan sekolah dan universiti dibuka semasa wabak Covid-19, bukannya menutup institusi pendidikan itu, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Kata ahli parlimen Iskandar Puteri itu, ketika awal berdepan wabak itu sekitar Mac dan April lalu, tindakan menutup sekolah diambil kerana dunia masih cuba memahami wabak tersebut serta sifat dan ketidaktentuannya.

Namun, katanya, setelah 10 bulan, kita seharusnya belajar daripada pengalaman dan mengambil langkah yang lebih fleksibel, dengan mengambil kira keperluan untuk mengurangkan penularan Covid-19.

“Namun, selepas 10 bulan berhadapan dengan wabak ini, kita perlu belajar dari pengalaman kita dan seluruh dunia, dan mengambil langkah yang fleksibel dalam meletakkan reaksi yang berpatutan terhadap pelbagai masalah kesihatan, sosial, dan ekonomi yang dibawa oleh wabak ini.

“Salah satu pengajaran yang dapat dipelajari daripada wabak ini adalah, tidak ada solusi yang bersesuaian untuk semua keadaan, memandangkan penutupan sekolah ini bukan sahaja memberikan impak yang buruk kepada pelajar, guru, dan keluarga, tetapi mempunyai kesan ekonomi dan sosial yang meluas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh sebab, katanya, pengumuman penutupan semua sekolah oleh Menteri Pendidikan Radzi Jidin bermula 9 November, termasuklah di negeri yang tidak mempunyai zon merah, mendapat reaksi yang bercampur-baur.

“Adakah sekolah dan universiti akan terus ditutup sehingga berakhirnya penularan wabak ini?” soalnya.

Tambahnya, memandangkan belum ada kepastian tentang bilakah vaksin Covid-19 akan dapat dihasilkan, rakyat perlu belajar dan berubah untuk hidup bersama wabak ini.

“Hampir mustahil untuk kita menutup semua sekolah dan universiti sehingga 2022,” katanya lagi.

Oleh itu, saran Lim, sekolah dan universiti patut dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bersama dengan pendekatan yang lebih kreatif, seperti saiz kelas lebih kecil ataupun kelas setiap dua minggu sekali secara berselang-seli.

“Keputusan penutupan sekolah dan universiti patut digugurkan- sebagai contoh, dengan memberikan kuasa kepada setiap kerajaan negeri untuk membuat keputusan mengenai perkara ini dan bukannya dengan melalui suatu agensi kebangsaan,” tambahnya lagi.

Lim turut menggesa agar NGO pendidikan dan kumpulan ibu bapa turut dilibatkan bagi memastikan sekolah dan universiti dapat dibuka dalam tempoh wabak Covid-19, bukan dengan sewenang-wenangnya mengisytiharkan penutupan sekolah.

Berita Penuh: MALAYSIAKINI

COMMENTS