PKPB | Tiada solat jumaat dalam zon merah di Perak

Tiada solat Jumaat di dalam zon merah di Perak, sebaliknya diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, keputusan itu diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas menimbangkan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Bagaimanapun, katanya, solat berjemaah untuk solat fardu boleh dilaksanakan di masjid serta surau dengan had ditetapkan kepada enam jemaah yang terdiri dari kalangan pegawai masjid serta Ahli Jawatankuasa Kariah (JK).

Menurutnya, bagi solat Jumaat serta solat fardu di kawasan zon kuning, bilangan jemaah dihadkan kepada 23 orang yang terdiri dari kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

“Bagi kawasan zon hijau pula, had ditetapkan kepada 40 jemaah bagi kedua-dua solat, dengan kelonggaran turut diberikan kepada ahli kariah.
“Para jemaah yang lain hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrul Azam berkata, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengemaskini status zon di negeri ini dari masa ke semasa berdasarkan ketetapan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di samping garis panduan yang diperlukan.

Menurutnya, penggunaan masjid dan surau diri Jumaat untuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu, perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan KKM.

Katanya, laungan azan pada setiap kali solat hendaklah diteruskan seperti biasa tanpa sebarang pindaan kalimah.
Namun, ujarnya, ia perlu disusuli dengan pengumuman yang menyarankan ahli kariah mendirikan solat berjemaah bersama keluarga di rumah masing-masing.

Dalam masa sama, kata Shahrul Azam, semua aktiviti keagamaan lain di masjid serta surau di kawasan zon merah ditangguhkan, manakala penganjuran kuliah pengajian antara solat Maghrib dan Isyak serta selepas solat Subuh dibenarkan pada skala kecil bagi zon kuning serta zon hijau.

“Ahli Jawatankuasa atau pegawai masjid hendaklah memberi peringatan dan penerangan ringkas kepada jemaah untuk mematuhi garis panduan sebelum solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu dimulakan.

“Kehadiran menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia dengan identiti setiap jemaah hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat,” tambahnya.

Beliau berkata, arahan dan ketetapan itu terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga terdapat sebarang arahan baru dikeluarkan oleh MAIPk.

Berita Penuh : Astro Awani

COMMENTS