Polis P.Pinang rampas pelbagai dadah dan pil khayal RM12.3 juta Jan-Nov

GEORGE TOWN, 10 Nov — Polis Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah, pil ekstasi, air dan daun ketum serta pokok ganja bernilai kira-kira RM12.3 juta dalam pelbagai operasi sejak awal tahun sehingga 8 Nov lepas, yakni peningkatan sekitar RM100,000 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata antara yang dirampas ialah 1,209 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah traditional dan sintetik, 72,756 biji (pil ekstasi dan pil psikotropik), 7,081.26 liter (air ketum), 995.65 kg daun ketum serta tujuh batang pokok ganja.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga 8,587 orang ditahan berkaitan kes dadah, antaranya membabitkan 4,488 orang atas kesalahan memiliki dadah, 2,011 orang pembekal, 1,609 penagih, 326 orang ditahan berulang kali kerana memiliki dadah dan disiasat menurut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, serta 153 orang disiasat Langkah-Langkah Pencegahan Khas(LLPK).

“Jumlah tangkapan berkaitan dadah berkurang sebanyak 23 peratus atau 1,956 orang berbanding tempoh sama tahun lepas, ini antara lain berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak bulan Mac lepas,” katanya dalam persidangan media di sini hari ini..

Sementara itu Mustafa Kamal berkata polis menahan seorang lelaki dan merampas 4,780 biji pil ekstasi bernilai kira-kira RM90,000 di hadapan sebuah hotel di sini Sabtu lepas, hasil maklumat dan risikan pihaknya sejak dua minggu lepas.

Beliau berkata penganggur berumur 41 tahun yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah itu ditahan pada pukul 8.20 malam bersama 10 bungkusan plastik lutsinar mengandungi pil ekstasi, dan lelaki yang didapati positif dadah itu ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952.

— BERNAMA

COMMENTS