Piala Malaysia tangguh? Minta maaflah! – Ismail Sabri

Apa sahaja pertandingan melibatkan sukan bola sepak tidak dibenarkan untuk diadakan ketika ini sejajar dengan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kesemua negeri kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis berikutan penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, justeru, penganjuran Piala Malaysia yang sudah memulakan kempen sejak Jumaat lalu perlu dibatalkan serta-merta.

“Minta maaflah, setelah dibentang oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan, pertandingan bola sepak tidak dibenarkan walaupun tidak penonoton.

“Permainan itu melibatkan sentuhan antara pemain, maka ia lebih berbahaya berbanding sukan lain apatah lagi mereka dalam keadaan berpeluh dan basah sekali gus lebih berisiko penularan jangkitan Covid-19.

“Oleh kerana sekarang ini ada PKPB, kita tidak benarkan ada pertandingan dan pertandingan Piala Malaysia ini kita bersetuju untuk ditangguh kepada satu tarikh lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, persoalan berhubung penganjuran Piala Malaysia menjadi tanda tanya berikutan pelaksanaan PKPB yang bermula hari ini.

Pahang sudah pun terkubur selepas kalah 3-2 kepada Kedah, manakala Perlis tidak terlibat dalam kejohanan kali ini, sekali gus meninggalkan Kelantan satu-satunya pasukan yang masih selamat untuk meneruskan saingan.

Namun , pasukan lain seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Se­langor, Kuala Lumpur atau Terengganu mengharapkan sesuatu kerana suku akhir bermula Jumaat depan.

— UTUSAN

COMMENTS