Sidang DUN Kedah diteruskan dengan SOP MKN, KKM – Speaker

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang dijadualkan pada 15 Nov hingga 19 Nov ini akan diteruskan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Speaker DUN Kedah Juhari Bulat berkata antara SOP itu adalh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu menjalani ujian swab selewat-lewatnya tiga hari sebelum hari persidangan dan keputusan ujian itu hendaklah dilampirkan di pintu masuk dewan.

“Pengadang lut sinar juga dipasang di antara tempat duduk setiap ADUN, selain sanitasi permukaan kritikal seperti pintu, meja, mikrofon sebelum dan selepas persidangan.

“Deklarasi kesihatan oleh setiap ADUN melalui aplikasi MySejahtera dan pemeriksaan suhu akan dilakukan selain pemakaian pelitup muka dan pematuhan kepada SOP penjarakan fizikal diwajibkan sepanjang tempoh sidang berlangsung. Tempoh masa persidangan juga dihadkan sehingga 1 tengah hari sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Juhari berkata kehadiran ke dalam dewan persidangan juga dihadkan kepada ADUN dan ketua jabatan yang terlibat sahaja, manakala pemerhati luar serta media tidak dibenarkan berada di dalam dewan.

Semalam, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata kerajaan negeri berhasrat meneruskan persidangan DUN dengan mendapatkan nasihat daripada MKN.

Muhammad Sanusi dijangka membentangkan Belanjawan 2021 bagi Kedah pada persidangan kali ini.

Kerajaan pada Sabtu lepas mengeluarkan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Semenanjung termasuk Kedah selama empat minggu bermula hari ini, kecuali bagi Perlis, Pahang dan Kelantan berikutan kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat.

— BERNAMA

COMMENTS