[VIDEO] Jumpa RM1.4 juta dalam peti besi

Petaling Jaya: Polis menahan empat individu termasuk suami isteri yang dipercayai terbabit melakukan pelaburan haram membabitkan mata wang krypto serta judi dalam talian dan merampas wang tunai lebih RM1.4 juta, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya melakukan serbuan di sebuah rumah teres di Ara Damansara, di sini, jam 1.30 tengah hari selepas menerima maklumat daripada orang awam yang membawa kepada penahanan suami isteri masing-masing berusia 27 dan 31 tahun.

“Ketika serbuan dilakukan, suami isteri itu memadam beberapa komputer riba, namun pemeriksaan dilakukan menemui dua komputer riba yang tidak sempat ditutup pasangan berkenaan.

“Malah, suami yang juga warga asing serta isterinya warga tempatan tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis ketika pemeriksaan dilakukan.

“Pemeriksaan dilakukan terhadap dua komputer riba yang masih berfungsi itu mendapati terdapat aktiviti pelaburan mata wang krypto,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, siasatan lanjut di stor rumah teres berkenaan menemui sebuah peti besi, namun suami isteri berkenaan tidak memberi kerjasama untuk membukanya.

“Kami terpaksa menggunakan khidmat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling untuk membuka peti besi berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan menemui wang tunai lebih RM1.4 juta di dalam peti besi berkenaan. Kami turut merampas tujuh komputer riba, serangkai kunci dan kad akses ke sebuah unit kondominium di Sunway,” katanya.

Katanya, susulan penahanan pasangan suami isteri itu, pihaknya menyerbu satu lagi unit di kondominium di Sunway jam 7.30 malam, hari sama.

“Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing masing-masing berusia 30 dan 31 tahun yang dipercayai bekerja sebagai penyelia laman sesawang pelaburan serta mereka aplikasi judi dalam talian dengan bayaran gaji RM9,000 sebulan.

“Kami turut merampas sembilan lagi komputer riba di unit kondominium berkenaan yang disewa oleh dalang sindiket terbabit iaitu lelaki yang ditahan dalam serbuan pertama,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati sindiket itu aktif melakukan kegiatan pelaburan haram mata wang krypto serta judi dalam talian sejak tiga bulan lalu dengan mempromosikan aktiviti berkenaan di media sosial kepada pelanggan mereka di China.

“Kami tidak menolak kemungkinan sindiket ini terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram. Semua suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

“Kami juga sedang mengesan saki baki sindiket berkenaan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Artikel penuh : HMetro

COMMENTS