Terkini! Rentas Negeri Dibenarkan Mulai Esok

Perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan perjalanan rentas negeri akan dibenarkan bermula esok.

Katanya, keputusan itu diambil selepas negara mencapai kadar 90 peratus vaksinasi bagi populasi dewasa.

“Alhamdulillah, menurut KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada PDRM bermula esok,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, dengan keputusan ini rakyat bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong, dan sebagainya.

Namun dia mengingatkan agar rakyat tidak bersikap sambil lewa terhadap jangkitan Covid-19 dengan kelonggaran yang diberikan.

“Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.

“Jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak Covid-19 ini akan kembali meningkat.

“Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus Covid-19,” jelasnya.-MK

COMMENTS