KKM masih mengkaji vaksin bawah umur 12 tahun

KKM masih mengkaji vaksin bawah umur 12 tahun

KUALA LUMPUR: Malaysia setakat ini masih belum menerima data yang diperlukan daripada syarikat pengeluar vaksin COVID-19 bagi meneliti kesesuaian untuk pemberian vaksin itu kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti keberkesanan dan keselamatan vaksin ke atas golongan itu berdasarkan bukti saintifik melalui kajian klinikal serta data sebenar di peringkat dunia.

“Setakat ini, beberapa kajian klinikal sudah dan sedang dijalankan termasuk pada September lalu, Pfizer-BioNTech mengeluarkan hasil dapatan kajian klinikal fasa tiga bagi usia lima tahun hingga kurang 12 tahun.

“Melalui kenyataan media Pfizer-BioNTech pada 15 Oktober lalu, data kajian klinikal itu sudah dikemukakan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat dan Agensi Perubatan Eropah (EMA),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) sama ada KKM sudah atau sedang meneliti kesesuaian dan keberkesanan penggunaan vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak berusia 12 ke bawah dan sama ada KKM sudah mendapat maklumat berkaitan daripada pengilang vaksin COVID-19.–BH

COMMENTS