Adly Zahari fail tindakan undang-undang mohon PRN dibatalkan

Bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari hari ini menfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi di sini memohon supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 Nov ini dibatalkan dengan serta-merta.

Adly yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Katil dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman itu juga menuntut deklarasi bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang ke-14 pada 4 Okt lepas adalah tidak sah dan terbatal. Adly, selaku pemohon memfailkan permohonan itu menerusi firma guaman Gan Ho & Razlan Hadri dengan menamakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, SPR dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam sebagai responden pertama hingga keempat.

Dalam permohonan itu, Adly memohon satu deklarasi bahawa tindakan responden pertama (Sulaiman) menasihati responden keempat (Mohd Ali) pada 4 Okt lepas untuk membubarkan DUN Melaka menurut Artikel 19(2) Perlembagaan Negeri Melaka setelah tidak lagi mempunyai kepercayaan sebilangan besar ahli DUN sebelum nasihat tersebut, telah melanggar undang undang, terbatal serta tidak sah.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka itu juga memohon deklarasi bahawa proklaması responden keempat tentang pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa 4 Okt lepas dan diterbitkan dalam Warta Kerajaan Melaka bertarikh 5 Okt 2021 adalah terbatal dan tidak sah kerana semasa responden pertama membuat nasihat mengenal pembubaran itu beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli DUN Melaka.

Beliau turut memohon deklarasi bahawa dalam keadaan apa pun adalah sangat tidak munasabah dan tidak rasional bagi responden pertama untuk meminta responden keempat membubarkan DUN Melaka berpandukan Artikel 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka dalam keadaan pandemik atau endemik COVID-19 yang sedang berlaku di Melaka dan negara ini.

Turut dipohon perintah bahawa writ dan notis pilihan raya yang dikeluarkan SPR pada 18 Okt lepas untuk mengadakan PRN Melaka digantung, sementara menunggu permohonan kebenaran semakan kehakiman didengar dan diputuskan oleh mahkamah selain memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Menerusi afidavit difailkan bersama permohonan itu, Adly berkata responden pertama telah hilang sokongan majoriti ADUN pada 3 Okt dan 4 Okt lepas dan beliau tidak mempunyai sebarang kuasa di bawah Perlembagaan Negeri Melaka untuk menasihati responden keempat bagi membubarkan DUN Melaka.

Adly berkata Melaka telah terjejas oleh kelembapan ekonomi yang teruk akibat pandemik atau endemik COVID-19 sejak awal 2020.

“Pandemik atau endemik COVID-19 telah memberi implikasi negatif yang serius terhadap kesihatan orang ramai dan kesejahteraan ekonomi mereka. Saya juga percaya bahawa mengadakan PRN Melaka pada masa ini menimbulkan bahaya kepada kesihatan rakyat”, katanya.

– BERNAMA

COMMENTS