Tiada SOP Dua Darjat di Melaka

Tiada SOP Dua Darjat di Melaka

Kuala Lumpur: Tiada pilih kasih yang diamalkan dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara jemaah Menteri dengan pihak pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku.

“Saya akan bangkit perkara ini dalam mesyuarat Kabinet akan datang. Saya akan meminta menteri jangan menyalahgunakan SOP ditetapkan MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan) yang akan dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), nanti.

“Kita tidak mengamalkan pilih kasih atau ‘double standard.’ Saya berharap tiap-tiap pihak (beri kerjasama), saya bercakap bagi pihak MKN, KKM dan SPR.

“Ada dua pihak di sini, satu SPR mahukan proses demokrasi berjalan iaitu membenarkan kesemuanya berpandukan apa ditetapkan MKN dan KKM. Kalau undang-undang dilaksanakan satu pihak, mesti dilaksanakan pihak lain,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) mengenai jaminan kerajaan apabila Melaka yang memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa empat menetapkan hanya majlis rasmi kerajaan boleh dianjurkan yang akan digunakan menteri Kabinet untuk kempen PRN Melaka.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, SPR sedang membuat persiapan sewajarnya meliputi aspek seperti keperluan bajet pilihan raya, peralatan, logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia, latihan kepada petugas, SOP Pencegahan Covid-19 juga aspek lain yang berkaitan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 yang akan diadakan pada 20 November ini.

“Ini adalah penting bagi memastikan pengendalian penjalanan pilihan raya berjalan dengan selamat, lancar dan sempurna dalam tempoh pasca Covid-19.

“SPR dengan kerjasama MKN dan KKM kini sedang memuktamadkan penambahbaikan SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan PRU DUN Melaka Ke-15 di mana isu kesihatan dan keselamatan dalam pelaksanaan pilihan raya menjadi keutamaan dengan mengambil kira situasi Covid-19 pada ketika ini,” katanya pada Waktu Pernyataan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas- Tebrau) minta langkah yang akan diambil pada PRN Melaka bagi mengelakkan peningkatan kes positif Covid- 19 yang sebelum ini berlaku selepas Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.

Wan Junaidi berkata, SOP akan disesuaikan selaras dengan Fasa Pelan Pemulihan Negara di samping mengambil kira pandangan pihak KKM dan MKN.

“SPR sentiasa berbincang dengan KKM dan MKN memandangkan PRU DUN Melaka ke-15 ini akan diadakan semasa peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan.

“SPR akan mengumumkan SOP ini sebelum Hari Penamaan Calon PRU DUN Melaka ke-15 nanti,” katanya.–HM

COMMENTS