Tak dapat RM2, Anak ‘belasah’ bapa hingga patah gigi

Seorang anak sanggup menumbuk muka ayahnya sehingga patah gigi hanya kerana permintaannya untuk mendapatkan RM2 tidak ditunaikan, dalam kejadian di Kampung Belukar Jambu, Chendering, di sini, pada Rabu lalu.

Menurut sumber, sebelum kejadian kira-kira jam 8 pagi, lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai ada meminta RM2 daripada mangsa, 50-an, dengan alasan hendak membeli minyak motosikal.

“Mangsa enggan menunaikan permintaan berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan sikap biadab suspek terhadapnya sebelum ini yang tergamak memarahinya hanya disebabkan dia menegur mengenai tong gas.

“Bagaimanapun keputusan mangsa yang tidak mahu melayan permintaan suspek mengundang kemarahannya sebelum bertindak menumbuk bibir mangsa sehingga sebatang gigi patah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Sumber berkata, kecewa dengan tindakan biadap anaknya, mangsa nekad membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat di Balai Polis Chendering, di sini.

Jelasnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.-SH

COMMENTS