Projek komputer riba RM150juta, cara curi duit “diam-diam”?

Sebuah NGO anti-rasuah mempersoalkan beberapa peruntukan dalam belanjawan tahunan kerajaan, termasuk dana RM150 juta bagi pembelian komputer riba untuk pelajar di 500 sekolah.

Menggesa supaya ketelusan diamalkan dalam penggunaan dana tersebut, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, pentadbiran Perikatan Nasional (PN) harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas proses pelaksanaan belanjawan.

Dalam satu kenyataan, C4 turut menimbulkan keraguan terhadap rancangan Putrajaya meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyumbang kepada dana Cerdik sebanyak RM150 untuk tujuan pembelian komputer riba bagi 150,000 pelajar di 500 sekolah di bawah seliaan Yayasan Hasanah.

“Apakah tujuannya sebuah yayasan menyelia projek ini sedangkan Kementerian Pendidikan (KPM) sepatutnya lebih tahu tentang sekolah yang memerlukan komputer riba, selain mampu mengagihkannya mengikut kesesuaian?”

Katanya, pulangan tahunan Yayasan Hasanah tidak tersedia untuk rujukan umum, sehingga sukar untuk mengetahui berapa banyakkah daripada peruntukan yang digunakan untuk tujuan amal.

Badan itu turut berkata, tidak juga diketahui sama ada perolehan dibuat melalui proses tender terbuka.

“Ketiadaan tender terbuka boleh membawa kepada salah guna dana. Projek mungkin diserahkan kepada syarikat yang tidak sesuai.

“Contohnya termasuklah bagaimana beberapa syarikat diberi kontrak untuk menyediakan peralatan kepada kerajaan dalam memerangi Covid-19.

“Syarikat terbabit tidak mempunyai pengalaman dalam mengeluarkan peralatan seperti itu, tetapi sebaliknya dikaitkan dengan pegawai berpangkat tinggi.”

C4 juga menggesa kerajaan supaya bersikap telus dalam peruntukan projek prasarana negara, dengan berkata, ia dapat membina kepercayaan masyarakat.

“Jelas perlu ada usaha untuk menjejaki wang dan audit secara telus, terutama dalam soal dana pembayar cukai.

“C4 menggesa pentadbiran PN agar lebih bertanggungjawab, bukan sahaja berhubung peruntukan dana negara, tetapi juga proses penggunaannya sewaktu belanjawan dilaksanakan.”

Pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz membentangkan belanjawan tahunan pertama untuk kerajaan PN selepas mengambil alih Putrajaya pada Mac tahun ini.

Sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2021, iaitu kira-kira RM7.8 bilion lebih banyak berbanding belanjawan sebelum ini sebanyak RM314.7 bilion.

Kira-kira RM236.5 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi, RM69 bilion untuk pembangunan dan RM17 bilion untuk dana Covid-19.

Berita Penuh : FMT News

COMMENTS