Rentas negeri sambut Aidilfitri hukumnya HARAM dan BERDOSA

Jatuh hukum haram sekiranya melanggar larangan merentas negeri, seperti yang ditetapkan kerajaan, untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, menurut mufti Wilayah Persekutuan.

“Rentas sempadan, apa hukumnya apabila kerajaan larang? Andai tidak taat kepada Ulul Amri (pemerintah) maka hukumnya haram,” kata Luqman Abdullah.

Kata beliau, menurut hadis, Rasulullah SAW ada menyebut supaya umat manusia mengelak ke sesuatu tempat sekiranya mendengar berita mengenai penyebaran sesuatu wabak penyakit.

Begitu juga dengan mereka yang sudah sedia berada di tempat itu, tidak boleh keluar daripada kawasan berkenaan.

“Sekarang angka (jangkitan) semakin tinggi, jadi kalau dibenarkan (rentas negeri) bila rantaian jangkitan ini akan berhenti?” soal beliau.

Beliau juga memetik laporan media baru-baru ini mengenai beberapa kes memalsukan dokumen, termasuk dengan menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong, bagi tujuan merentas negeri.

“Itu dua kali haram, menipu untuk rentas negeri dan menipu surat (kebenaran),” kata beliau, menurut laporan Berita Harian.

Tambah beliau, umat Islam perlu kembali kepada perkara paling asas termasuk menerima larangan dikenakan pemerintah sekiranya dilakukan bagi tujuan kebaikan.

Beliau sendiri sanggup membatalkan mesyuaratnya di Kelantan, walaupun sudah mendapat surat kebenaran polis, bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

“Saya sudah mendapat surat (kebenaran rentas negeri) polis tetapi apabila seluruh daerah di Kelantan dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP), saya terpaksa berfikir semula.

“Jika balik, mungkin saya (dijangkiti) atau menjangkiti mereka di sana jadi saya tidak ke Kelantan dan hanya menjalani mesyuarat secara dalam talian,” kata beliau.

COMMENTS