Umno desak Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat Hamzah isu “budak kita”

Umno mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, menyalahgunakan kuasa dengan mencampuri urusan polis.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata dakwaan dibuat Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, dan Bekas Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, amat serius kerana membabitkan campur tangan politik.

“Saya akan meminta menteri-menteri yang mewakili Umno untuk membawa saranan ini kepada kerajaan agar tindakan segera dapat dilakukan.

“Penubuhan RCI bagi tujuan di atas boleh disekalikan dan harus disegerakan untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap institusi dan sistem yang membentengi kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Pada 4 Mei lalu, Hamid dilaporkan mendakwa Hamzah “mengatur langkah” untuk menjadikan “budaknya” pengarah agensi perisikan polis, Cawangan Khas (SB).

Katanya, Hamzah cuba meletakkan seorang bekas pegawai kanan SB yang tamat kontrak tahun lalu kerana beliau mudah mengikut arahan ahli politik.

Langkah itu diatur selepas SB enggan menyertai operasi yang menurutnya dipaksa Hamzah bagi tujuan politik sendiri.

Hamid mendakwa pengarah SB sedia ada, yang akan tamat kontrak pada Jun, dipanggil Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri pada Feb, sebelum diminta mengakhiri kontrak secara sukarela atau notis sebulan pemberhentian kontrak akan diberikan. – FMT

COMMENTS