PANAS | Mahathir dedah “kekayaan” sebenar anak-anak beliau

Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu beliau melarang anak-anaknya daripada menjalankan perniagaan dalam negara sepanjang menjadi Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau juga tidak membenarkan anaknya memperoleh kontrak kerajaan selain menceburi politik.

“Bila saya jadi PM, anak saya, saya tak benar buat niaga dalam negara. Tak boleh dapat kontrak kerajaan dan tak boleh masuk politik, saya tak benarkan.

“Semua orang tahu mana ada pegang jawatan apa. Mukhriz tak jadi wakil rakyat. Mokhzani pun tak, Mirzan tak berniaga dalam negara, dia berniaga di Filipina.

“Marina is not in politic. Saya tak beri pasal takut orang kata pasal saya PM, dia bagi pada anak dia.

“Tapi Najib kata kononnya anak saya buat bilion ringgit,” katanya dipetik dari wawancara Mingguan Malaysia hari ini.

Untuk rekod, Mahathir telah terpahat dalam sejarah dunia selepas muncul sebagai Perdana Menteri tertua di dunia pada usia 93 tahun apabila dilantik semula sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 2018.

Beliau dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah mempunyai tujuh anak, iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Hanya dua anak Mahathir yang menceburi politik. Mokhzani pernah menjadi pegawai kanan Belia Umno sebelum meninggalkan politik dan memberi tumpuan kepada kerjaya perniagaannya.

Sementara itu, Mukhriz buat pertama kali dipilih ke Parlimen pada tahun 2008 apabila menang bertanding di Parlimen Jerlun dengan menggunakan tiket Barisan Nasional (BN).

Bekas Menteri Besar Kedah sebanyak dua kali itu juga pernah menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia antara 2009 dan 2013.

Dalam wawancara sama, Mahathir bahkan mencabar pihak berkaitan menyiasat sebanyak mana jumlah kekayaannya seperti didakwa.

“Pergilah periksa tengok. Saya kononnya kaya. Pergilah tengok duit saya di mana saya simpan. Ada duit tidak boleh belanja buat apa,” tambah Ahli Parlimen yang telah berkhidmat selama lebih daripada 30 tahun itu lagi. – MD

COMMENTS