“Gila nombor plat”, penyokong Pas baru sedar perangai ‘munafik’ pimpinan mereka

“Gila nombor plat”, penyokong Pas baru sedar perangai ‘munafik’ pimpinan mereka

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyifatkan ahli Pas sekarang dapat melihat perangai sebenar pemimpin mereka yang sudah lari daripada perjuangan.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, perjuangan seperti isu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) atau dikenali sebagai Rang Undang-Undang (RUU) 355 juga tidak kedengaran lagi.

Sebaliknya, beliau menegaskan pemimpin Pas yang sudah berada dalam kerajaan ‘tebuk atap’ lebih sibuk mengutamakan kepentingan jawatan, pangkat dan harta.

“Kita tidak lagi dengar mereka bercakap mengenai (RUU) 355, sebab pemimpin mereka (dulu) mengatakan bukan sunat, bukan makruh.

“Begitu juga pertambahan aktiviti perjudian (daripada lapan kepada 22 kali cabutan setahun) sekarang. Kita lihat Pas mendiamkan diri atau pun mereka bersuara tapi tak dengar lagi.

“Mereka berbincang hanya kedudukan dan hal berkaitan jawatan di peringkat Persekutuan dan negeri. Rakyat sedang melihat keadaan ini.

“Ahli-ahli Pas juga telah melihat pemimpin-pemimpin mereka sudah lari daripada perjuangan,” kata Mohamad dalam wawancara eksklusif Malaysia Dateline hari ini.

Beliau yang lebih dikenali Mat Sabu dengan hampir 40 tahun bersama Pas itu berkata, walaupun dasar parti tersebut masih Islam tetapi pemimpin-pemimpin mereka cenderung mengejar kemewahan.

“Yang mereka (Pas) kejar juga majlis syura ulama adalah nombor plat kereta tertentu yang memerlukan puluhan ribu ringgit.

“Perjuangan pemimpin-pemimpin mereka sudah lari jauh daripada apa yang disuarakan sebelum ini,” tambahnya lagi. – MD

COMMENTS