Rentas Negeri Nanti Hanya Guna SOP Ditetapkan, Tiada Sekatan Jalan Raya

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam sesi sidang media hari ini menjawab soalan berkait aktiviti rentas negeri untuk individu yang tidak divaksin.

Menurut Khairy, cadangan untuk mewajibkan ujian kendiri COVID-19 terhadap individu tidak divaksin bagi aktiviti rentas negeri telah dikaji.

Pun begitu, katanya tiada cara untuk menguatkuasakan cadangan tersebut.

“Takkan kita nak adakan sekatan jalan raya, check setiap orang yang keluar, dan kalau tak divaksinasi suruh mereka buat test di situ.

“Saya rasa rakyat lebih marah kalau berlaku kesesakan, di mana mereka dah tunggu nak balik kampung,” jelas Khairy.

Namun menurut Khairy, Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan terus dipakai.

“Walaupun kita kata rentas negeri hanya untuk mereka yang divaksinasi, tidak ada cara untuk kita mengawal pergerakan mereka yang belum divaksinasi.

“Saya akui, kita takkan adakan sekatan jalan raya.

“Tapi kalau mereka (individu tak divaksin) balik atau merentas negeri dan cuba makan di restoran, mereka tidak akan diberi kebebasan sedemikian,” jelas Khairy.

Menurut Khairy dalam sesi sidang media tersebut, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan terus menjalankan Ops Patuh untuk menguatkuasakan SOP tertentu.

Bercakap tentang SOP rentas negeri, Khairy memaklumkan SOP yang ditetapkan adalah SOP sedia ada. Pun begitu, tiada SOP yang ditetapkan untuk pulang ke kampung bagi bertemu ibu bapa dan sebagainya.

“Tiada SOP, balik saja ke rumah,” tambahnya.

Aktiviti merentas negeri akan dibenarkan sekiranya peratus individu dewasa yang lengkap divaksinasi mencapai 90 peratus. Peratus individu dewasa yang sudah lengkap vaksin di Malaysia kini berada di tahap 88.8 peratus.-SK

COMMENTS