PR1MA bermewah anjur majlis berbuka disaat banyak rumah terbengkalai

Seorang ahli parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan kos majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata walaupun ibadah berbuka puasa digalakkan pada bulan Ramadan, namun dana awam tidak boleh dilibatkan.

“Janganlah sampai pembeli-pembeli (PR1MA) yang teraniaya terasa diabaikan.

“Mereka ikat perut bayar bulan-bulan kepada bank dalam keadaan rumah belum siap, tapi kamu boleh anjurkan pula majlis besar-besaran sebegini,” kata Akmal.

Sebaliknya, menurut pemimpin PKR itu, PR1MA seharusnya mengutamakan pembeli rumah.

“Berapakah kos perbelanjaan Majlis Berbuka Puasa PR1MA bersama Pengerusi?

“Banyak persoalan saya mengenai PR1MA sebelum ini tidak dijawab, maka tolong sebarkan persoalan ringkas ini demi integriti dan keadilan.

“Apabila saya bersuara lantang mengenai mangsa-mangsa rumah PR1MA, saya sangat bersimpati dengan mereka.

“Bukan hanya satu projek bermasalah, tetapi banyak sangat yang ada isu.

“Saya desak dan desak supaya mereka yang bertanggungjawab mengambil pendekatan yang berbeza dan meletakkan nasib serta hak pembeli sebagai keutamaan.

“Memang ibadah digalakkan dalam bulan Ramadan, hatta nak jemput ustaz PAS atau UMNO, terpulanglah kalau kamu pakai duit sendiri.

Majlis berbuka puasa itu berlangsung pada 15 April di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Ia dirasmikan oleh Pengerusi PR1MA yang juga adalah Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim.

PR1MA dilancarkan pada tahun 2011 oleh kerajaan pimpinan Najib Razak dengan sasaran sebagai penyelesaian kepada masalah rumah mampu milik golongan berpendapatan sederhana.

Undian dijalankan bagi pembeli yang memilih untuk memiliki harta tanah ini. Matlamat penubuhannya adalah untuk membina 500,000 unit menjelang pada tahun 2020.

Namun, banyak projek PR1MA dibelenggu oleh kelewatan dan pembatalan.

Pada bulan Disember tahun lalu, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM172 juta untuk projek PR1MA yang dibatalkan.

Berapakah kos perbelanjaan Majlis Berbuka Puasa PR1MA bersama Pengerusi?

Banyak persoalan saya mengenai PR1MA sebelum…

Posted by Akmal Nasir on Tuesday, 20 April 2021

COMMENTS