Permansuhan UPSR: Pelbagai pendapat dari warga pendidikan di Malaysia

Keputusan Putrajaya untuk memansuhkan peperiksaan UPSR bermula tahun ini mengundang pelbagai reaksi dari kumpulan pendidikan di negara ini.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin ketika mengumumkan pemansuhan ini berkata, kementeriannya akan memperkenalkan kaedah alternatif baharu bagi menilai prestasi pelajar yang akan menduduki dua peperiksaan besar sepanjang tempoh persekolahan.

“Tiada peperiksaan ganti akan diperkenalkan. Kita akan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah,” kata Radzi.

Bercakap kepada FMT, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata peperiksaan awam hanya akan menambah tekanan kepada pelajar bagi mendapatkan keputusan terbaik, sekaligus mengetepikan objektif asal pendidikan.

“UPSR terlalu ke arah menghasilkan A dan mengabaikan objektif sebenar pendidikan yang menyeluruh. Seluruh sistem dikerahkan ke arah mencapai kecemerlangan akademik semata-mata,” jelas beliau, yang mewakili pendirian kesatuan itu memperjuangkan supaya peperiksaan tersebut dibatalkan sejak lima tahun lalu.

Tan menambah disebabkan sumber banyak disalurkan kepada UPSR, cabang pendidikan lain seperti muzik, seni dan pendidikan jasmani sering kali diketepikan.

Beliau percaya matlamat utama bagi pendidikan sekolah rendah adalah untuk pelajar menguasai kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira, sambil berkata “dengan penguasaan kemahiran asas yang baik, mereka tidak akan berdepan masalah ketika melanjutkan pendidikan ke Tingkatan 1 (sekolah menengah).”

Bagaimanapun, beliau berkata, pentaksiran berasaskan sekolah yang lain seperti ujian bulanan, peperiksaan akhir tahun, kerja kursus dan kuiz sepatutnya diteruskan kerana ia penting bagi menilai perkembangan prestasi pelajar.

Kumpulan Bertindak Ibubapa bagi Pendidikan (PAGE) berpendapat, peperiksaan besar menjadikan guru lebih fokus kepada mempersiapkan pelajar bagi untuk ujian berbanding memberikan pendidikan berkualiti kepada mereka.

“Apabila peperiksaan penting dibuat, para guru lebih cenderung untuk mengajar cara menjawab soalan peperiksaan, bukannya mendidik,” kata pengerusinya Noor Azimah Rahim.

Namun, Azimah berpendapat penilaian ke atas pelajar hendaklah diteruskan dan diganti dengan satu kaedah penilaian baharu.

Sementara itu, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) mengkritik keputusan “saat akhir” oleh Putrajaya itu.

“Apa yang paling mengecewakan kami ialah kenapa kerajaan tidak memaklumkan kami terlebih dahulu sebelum memutuskan apa-apa?,” soal pengerusinya, Mak Chee Kin.

Mak berkata keputusan mendadak seperti itu hanya akan menambah tekanan dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelajar, guru dan ibu bapa.

Kebimbangan sama turut dikongsikan oleh Presiden Persatuan Sains,Teknologi dan Inovasi (ASTI) Mohamed Yunus Yasin, yang menekankan kerajaan seharusnya mengumumkan keputusan itu lebih awal untuk memberi masa kepada guru mempersiapkan keperluan pembelajaran.-FMT

COMMENTS