“Orang cakap saya katak, saya tidak kisah gelaran itu” – Mas Ermieyati

Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini, menegaskan yang beliau tidak kisah digelar katak oleh pihak tertentu kerana yang paling utama baginya ialah berkhidmat untuk rakyat.

Mas Ermieyati menegaskan, ada pihak tertentu melabelkannya sebagai katak yang gemar melompat kononnya untuk mencari tempat lebih baik dalam politik sedangkan hakikatnya, tindakannya adalah semata-mata untuk berkhidmat kepada anggota komuniti.

“Orang cakap saya katak, biarlah apa yang mereka hendak kata asalkan yang penting, saya terus berkhidmat untuk rakyat di Masjid Tanah.

“Saya tidak pernah lari dari Masjid Tanah dan saya sanggup berulang-alik dari Masjid Tanah ke pejabat di Putrajaya. Saya, empat hari seminggu ada di Masjid Tanah,” katanya berucap pada majlis ramah mesra dengan nelayan di Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB) di Kuala Sungai Baru di sini.

Turut hadir EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri Rosli Mustapa serta Pengerusi PNKMB Mazelan Bakar.

Seramai 209 nelayan yang juga ahli PNKMB menerima sumbangan RM150 dan baucar makanan RM50 untuk meringankan beban menyambut Ramadan.

Mas Ermieyati yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Masjid Tanah berkata, rakyat boleh melihat perjuangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membela nasib rakyat.

“Bukan mudah Tan Sri Muhyiddin semasa mengambil alih pentadbiran negara dalam keadaan negara terpaksa menghadapi cabaran pandemik Covid-19 dan ekonomi negara pula dalam keadaan tidak baik.

“Orang cakap macam-macam fasal Perdana Menteri tetapi beliau terus bekerja dan mampu menghadapi cabaran besar dengan tabah dan sabar,” katanya.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati mengingatkan nelayan supaya sentiasa bersyukur dengan pelbagai bantuan kerajaan, terutama Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) yang dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan mulai Februari lalu, selain subsidi petrol dan diesel.

Mas Ermieyati yang juga bekas Ketua Puteri Umno keluar daripada Umno pada 1 Julai 2018, iaitu dua bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebelum mengemukakan borang keahlian Bersatu kepada bekas Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan Disember 2018.

Mas Ermieyati, 45, yang memenangi kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU-13 atas tiket Barisan Nasional (BN), disahkan sebagai ahli Bersatu Cawangan Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah pada 31 Disember 2018.-HM

COMMENTS