Langgar SOP majlis tahnik, Menteri Agama kunci mulut “No Komen”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad enggan mengulas mengenai isu majlis tahnik anak penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa melanggar SOP.

Zulkifli juga enggan mengulas kehadiran individu ternama dari luar Kuala Lumpur yang didakwa merentas negeri untuk ke majlis itu.

“Saya ‘no’ komen,” katanya yang turut menghadiri majlis itu pada 26 April lalu.

Dalam kenyataannya semalam, Siti menafikan dakwaan majlis tahnik anak keduanya itu melanggar SOP Covid-19.

Beliau menjelaskan dakwaan bahawa pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus merentas negeri tanpa kebenaran polis bagi menghadiri majlis itu adalah tidak benar.

Menurut selebriti itu, Azhar kebetulan berada di Kuala Lumpur apabila bersetuju untuk hadir di majlis berkenaan.

Siti turut menjelaskan, Zulkifli bukan jemputan khas tetapi beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

Bagaimanapun, Siti berkata pihaknya memohon maaf dan bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

Semalam, polis Ampang Jaya dilaporkan akan membuka siasatan berhubung dakwaan majlis tahnik anak Siti melanggar SOP Covid-19.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak, berkata siasatan dijalankan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

“Tuan rumah acara telah dikenal pasti dan dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kejadian itu,” katanya dalam kenyataan. – FMT

COMMENTS