Kudung kedua tangan bukan penghalang untuk berjaya dalam perniagaan

Kudung kedua tangan bukan penghalang untuk berjaya dalam perniagaan

Siapa sangka seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang kudung kedua-dua tangan mampu meraih pendapatan lumayan dengan mengusahakan perniagaan ketupat mini segera sejak 2016.

Tidak menjadikan alasan kekurangan diri untuk berpeluk tubuh, sebaliknya Muhamad Safar, 27, mengusahakan perniagaan itu bersama-sama kakaknya, Nor Azlia, 36, dan ibu mereka, Hattyca Karmon, 58, sejak lima tahun lalu.

Nor Azlia berkata, idea menjalankan perniagaan itu terhasil selepas ibu mereka memintanya mencarikan pekerjaan bersesuaian untuk adiknya itu yang kudung kedua-dua belah tangan sejak lahir.

“Ibu mahu kami mencari jalan bagi membolehkan Muhamad dapat menjana duit sendiri kerana dia tidak boleh bekerja di luar ekoran keadaannya itu.

“Dari situ kami mendapat idea memulakan perniagaan ketupat mini tradisi yang kini dikenali sebagai nama Ketupat Mini Muhammad.

“Kami bermula sejak 2016 dan segala proses termasuk pembungkusan dilakukan secara manual yang memakan masa namun sejak tahun lalu kami menerima bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Haji Hashim Simpang Renggam, di sini baru-baru ini.

Kata Nor Azlia, bantuan daripada RISDA itu berupa mesin pembungkusan elektrik dan reka bentuk bagi plastik ketupat mini berkenaan.

Ujarnya, mereka bersyukur kerana produk berkenaan diterima baik masyarakat setempat dan dipasarkan melalui kedai-kedai runcit berhampiran selain ditempah sebagai cenderahati untuk majlis keraian seperti perkahwinan dan pertunangan.

“Alhamdulillah, walaupun ketupat sinonim dengan hari perayaan Aidilfitri dan Aidiladha namun kami dapat menjualnya tidak kira masa sepanjang tahun,” katanya.

Katanya, bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan ketupat berkenaan yang mengandungi 30 biji setiap bungkusan boleh menghubungi talian 013-798 9492 atau melayari halaman Facebook Ketupat Mini Tradisi. – UTUSAN ONLINE

COMMENTS