KPM masih kunci mulut dan tidak sensitif isu periksa alat sulit pelajar perempuan

Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching menggesa Menteri Pendidikan Radzi Md Jidin dan dua timbalannya untuk bertindak susulan laporan berhubung amalan memeriksa pelajar perempuan yang datang bulan, terutama di sekolah berasrama penuh.

Teo berkata, tiada garis panduan yang membolehkan guru berbuat demikian.

“Mutakhir ini, negara dikejutkan dengan isu buli dan gangguan seksual yang berlaku dalam institusi pendidikan kita – atas nama spot check haid.

“Sepanjang pengetahuan saya, tiada garis panduan yang membolehkan cikgu melakukannya. Jadi mengapa ia berlaku?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, amat mengejutkan apabila setakat ini Kementerian Pendidikan (KPM) belum mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

“Dan apa yang mengejutkan kita adalah seorang menteri kanan dengan dua timbalan (Muslimin Yahaya dan Mah Hang Soon), semuanya lelaki, seperti tidak sensitif dan tidak peduli dengan hal yang menakutkan ini,” katanya lagi.

Kata Teo lagi, KPM perlu memberi maklum balas segera berhubung perkara ini.

COMMENTS