Kesedaran alam sekitar perlu bermula di rumah – Raja Muda Perlis

KANGAR, 10 Nov — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kesedaran memelihara alam sekitar perlu dimulakan di rumah dengan masyarakat membimbing anak-anak dan keluarga agar sentiasa menjaga kebersihan.

Baginda bertitah amalan hijau bukan sahaja mampu mengurangkan pencemaran malah mengurangkan kos seperti menjimatkan penggunaan tenaga secara optima dan mengurangkan pembaziran sumber air.

“Bertepatan tema Hari Alam Sekitar Negara pada tahun ini iaitu ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’ maka rakyat Perlis perlu bersama-sama mengambil peranan dan tanggungjawab untuk menjadikan ‘Rakyat Perlis Hidup Bermentaliti Kelas Pertama dan Bersih’,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Terdahulu baginda berangkat mengambil bahagian dalam ‘Program Jelajah Bermotorsikal Rakan Alam Sekitar’ sempena Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perlis 2020 sejauh 40 kilometer yang bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Al-Istiqamah, Teluk Jambu, Bintong di sini.

Baginda bertitah walaupun program kali ini diadakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa, namun ia tetap berjaya memberi kesedaran kepada semua pihak mengenai empat aspek utama dalam penjagaan alam sekitar.

Antaranya ialah menggalakkan penggunaan bekas atau beg guna semula melalui Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna.

“Ini adalah kerana menurut kajian, satu beg guna semula boleh menggantikan 125 beg plastik atau 52 beg kertas setahun,” titah baginda.

Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik juga diadakan bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman terhadap keperluan melupuskan bahan buangan tersebut dengan betul dan kesan bahayanya terhadap alam sekitar dan manusia.

— BERNAMA

COMMENTS