Keputusan TYT bubar DUN Melaka dibuat ikut nasihat yang salah – PH

Pakatan Harapan (PH) berpendapat keputusan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama (TYT) Dr Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat berdasarkan nasihat yang salah.

PH berkata apabila empat Adun menarik sokongan terhadap Sulaiman Md Ali pada Isnin lalu, ketua menteri itu telah hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati Ali Rustam berdasarkan perlembagaan negeri.

“Pakatan Harapan mengambil pendirian bahawa Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Dato’ Sri Utama Dr Ali Rustam, telah membubarkan DUN berdasarkan nasihat yang salah dari seorang Ketua Menteri yang telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri.

“TYT sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka, serta bertemu dengan 15 Adun iaitu pihak yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini.

PH berkata tindakan Ali Rustam melanggar duluan (precedent) di mana pada 2020 nasihat Ketua Menteri ketika itu, Adly Zahari) untuk membubarkan Dun tidak diterima setelah hilang majoriti.

“Malah ia juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN,” katanya.

Majlis Presiden PH turut berasa kesal kerana tindakan pembubaran DUN Melaka itu telah membuka laluan untuk pilihan raya negeri diadakan, yang boleh mengancam nyawa rakyat ketika pandemik Covid-19 belum lagi terkawal sepenuhnya.

Pada 4 Okt lalu bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron, bersama tiga Adun lain membatalkan sokongan mereka kepada Sulaiman sebagai ketua menteri.

Tindakan itu menyebabkan Adun Lendu itu kehilangan majoriti di DUN Melaka.

Tiga Adun yang lain ialah Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Ia mengulangi insiden bagaimana Adly dijatuhkan daripada jawatannya sebagai ketua menteri pada 2 Mac tahun lalu dengan tindakan beberapa Adun kerajaan berpaling tadah.-MK

COMMENTS