Karkas babi hutan seberat 3 tan berjaya dirampas di Kelantan

Karkas babi hutan seberat 3 tan berjaya dirampas di Kelantan

Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 berjaya merampas 3,000 kilogram (kg) karkas babi hutan yang cuba diseludup ke Thailand di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor di sini, pada Sabtu lalu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, karkas babi hutan bernilai RM66,000 itu dirampas selepas menahan sebuah lori jenis Hicom berwarna merah dalam rondaan Op Bersepadu Khazanah pada jam 8.30 malam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan pemandu lori terbabit yang berusia 34 tahun.

“Hasil pemeriksaan di dalam lori menjumpai karkas babi hutan dianggarkan seberat 3,000kg.

“Hasil siasatan awal, karkas babi hutan tersebut diperoleh dari pembekal di Maran, Pahang dan dipercayai untuk pasaran tempatan di sekitar Tumpat serta diseludup ke Thailand,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Karkas babi hutan yang dimuatkan dalam sebuah lori diserbu oleh penguat kuasa PGA Batalion 7 di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, Tumpat, pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas dokumen dikemukakan mendapati, jumlah kuantiti barang melebihi daripada yang dinyatakan dalam dokumen.

Katanya, tangkapan serta rampasan dilakukan mengikut peruntukan Seksyen 28(A) Akta 593 Kanun Prosedur Jenayah.

“Hasil semakan dengan pihak Jabatan Perhilitan juga mendapati pemilikan, memindah atau membawa karkas babi hutan perlu memiliki dokumen kebenaran daripada pihak Perhilitan.

“Karkas babi hutan dan lori bernilai RM80,000 diserahkan kepada Pegawai Penguatkuasa Perhilitan Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.- SH

COMMENTS