JPJ Perlis periksa Individu tidak vaksin naik kenderaan awam

Individu yang tidak lengkap vaksin Covid-19 tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam di Perlis untuk merentas negeri.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis Perlis, Fatimah Ali Piah berkata, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan kepada pemandu dan penumpang bas ekspres, bas henti-henti, teksi serta perkhidmatan kereta E-Hailing yang meninggalkan negeri ini.

“Penguatkuasaan dijalankan di terminal bas dan teksi selain ‘snap check’ atau di sekatan jalan raya (SJR) secara berkala bagi memastikan tiada penumpang atau pemandu yang tidak lengkap vaksin Covid-19 merentas negeri,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melakukan tinjauan dan pemeriksaan sempena Operasi Bersepadu JPJ bersama polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di SJR Jalan Kangar-Padang Besar, berhampiran Tasoh di sini hari ini.

Fatimah berkata, anggotanya akan membuat semakan status vaksinasi penumpang dan pemandu bas atau teksi sebelum kenderaan berkenaan bergerak keluar dari negeri ini.

“Mana-mana pemandu dan penumpang yang didapati tidak lengkap vaksin Covid-19 akan diarahkan turun atau keluar dari kenderaan awam berkenaan atau tidak dibenarkan menaiki kenderaan berkenaan.

“Selain itu, tindakan kompaun akan turut diberikan kepada mereka yang ingkar,” katanya.

Sementara dalam perkembangan lain, menerusi Ops Merah yang mensasarkan kenderaan P-Hailing atau kenderaan penghantar makanan di negeri Perlis yang bermula sejak 28 September lalu di Arau dan Kangar, sebanyak 17 notis saman bagi kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat merah.

Selain itu juga, JPJ turut menahan tiga warga asing dalam operasi berkenaan kerana memandu lori tanpa lesen dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

Manakala dua lagi adalah pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Rohingnya yang hanya menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang menunggang motosikal tanpa lesen memandu.

Ketiga-tiga warga asing berkenaan dikenakan tindakan saman dan kenderaan mereka disita.-HM

COMMENTS