Harimau masuk kampung bukan sebab pembalakan – Nik Amar

Harimau masuk kampung bukan sebab pembalakan – Nik Amar

Kerajaan Kelantan menafikan berlaku pembalakan sehingga menjejaskan habitat harimau yang mengakibatkan haiwan itu berkeliaran di sekitar Pos Bihai, Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tohmahan itu tidak sepatutnya berlaku kerana sebelum ini wujud kes lain harimau dikatakan muncul di kawasan bukan pembalakan.

“Hendak siasat dan cari sebab itu bagus tetapi jangan cepat buat kesimpulan.

Seolahnya sebab pembalakan menyebabkan harimau itu keluar.

Itu tidak betul,” katanya kepada pemberita di sini selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Rabu.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan sekumpulan orang asli dari Gua Musang yang menyerahkan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri untuk kerajaan mencari jalan penyelesaian segera bagi memastikan keselamatan orang asli di kawasan berkenaan terjamin daripada serangan binatang buas.

Mereka berpendapat, pelbagai kejadian boleh berlaku sekiranya kerajaan tidak menghentikan segera kegiatan pembalakan yang didakwa menjadi punca ekosistem haiwan liar itu terganggu.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, penyiasatan dan kajian boleh dilakukan dan langkah-langkah penangkapan telah dilakukan agensi yang terlibat bagi memastikan keadaan kembali terkawal.

COMMENTS