Rosmah hantar notis kepada Mahkamah Tinggi, Singkirkan Sri Ram sebagai pendakwa

Rosmah Mansor memberi notis kepada Mahkamah Tinggi bahawa beliau akan sekali lagi mencabar pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa dalam kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai membabitkan dirinya.

Peguambelanya, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, memberitahu hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa permohonan isteri bekas Perdana Menteri itu akan difailkan secepat mungkin.

“Memandangkan kami akan membuat permohonan untuk menyingkirkannya, beliau (Sri Ram) tidak boleh berhujah sebarang isu lain di mahkamah ini,” katanya.

Firoz kemudian memohon Zaini menangguhkan perbicaraan kes rasuah dan pengelakan cukai terhadap anak guamnya itu.

Sri Ram berkata, Zaini pada 24 Sept lalu telah memutuskan dalam perbicaraan rasuah lain terhadap Rosmah bahawa beliau kompeten untuk mendakwa kes itu. Katanya, ini disebabkan pelantikannya sebagai pendakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah bersifat meluas.

Katanya, Mahkamah Rayuan pada 6 Dis turut menolak permohonan Rosmah untuk menyingkirkannya dan mengisytiharkannya sebagai terbatal dalam perbicaraan rasuah membabitkan projek tenaga solar di sekolah Sarawak bernilai RM1.25 bilion Sarawak.

Firoz berkata, Zaini tidak boleh memindahkan keputusannya dalam perbicaraan rasuah itu untuk diguna pakai dalam kes ini.

“Anak guam saya berhak untuk kesnya didengar semula sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Sementara itu Sri Ram berkata, Rosmah telah memfailkan satu lagi permohonan untuk menyingkirkan Zaini daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai pendapatan. Permohonan itu difailkan jam 5 petang, Selasa.

Selain itu, Rosmah turut memfailkan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan berkenaan pada Jumaat. Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan membantah kedua-dua permohonan itu.

Pada 14 Dis, Zaini menolak permohonan Rosmah untuk menyingkirkannya daripada mendengar perbicaraan kedua itu.

Sementara itu hari ini, Zaini menangguhkan prosiding sehingga 24 Jan dengan perkara pertama yang akan dihujahkan pada tarikh itu ialah berkaitan penyingkiran Sri Ram.

“Jika itu ditolak, kita akan meneruskan permohonan untuk menyingkirkan saya. Jika itu juga ditolak, saya akan mendengar permohonan penangguhan prosiding.

“Perbicaraan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai akan diteruskan jika permohonan penangguhan prosiding itu ditolak,” katanya.

–FMT

COMMENTS