PM boleh nasihatkan Agong untuk segera pecat Azam Baki

PM boleh nasihatkan Agong untuk segera pecat Azam Baki

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa bertindak lebih proaktif dengan memulakan tindakan memecat atau merehatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 5, (3) bahawa Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Merujuk kepada laporan media, Azam memaklumkan tidak akan berundur daripada jawatan disandang dan tiada mana-mana pihak boleh menamatkan tugasnya selain Yang di-Pertuan Agong.

“Namun, berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 5, (3) Ketua Pesuruhjaya hendaklah, dalam tempoh pelantikannya sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya, memegang jawatan selama diperkenankan oleh Agong tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri.

“Ini bermakna, sebarang keputusan memecat atau merehatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM boleh dimulakan oleh Perdana Menteri seperti undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Akmal yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), juga mengulangi pendirian mahu tindakan lebih berani dibuat oleh kerajaan untuk mempertahankan integriti

“Ismail sepatutnya lebih proaktif untuk menyelesaikan kemelut ini dengan segera dan seterusnya membuat pindaan undang-undang agar proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu melalui proses Parlimen.

“Keengganan kerajaan untuk bertindak dan sebaliknya cuba menegakkan benang yang basah hanya akan terus melemahkan institusi SPRM serta membawa negara ke kancah ‘darurat integriti’ lebih mendalam,” katanya.-SH

COMMENTS