Dos Penggalak tidak diwajibkan buat golongan lengkap 2 Dos

Pengambilan dos penggalak yang akan ditawarkan kepada golongan tertentu selepas enam bulan pengambilan dos kedua tidak akan diwajibkan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, dos penggalak hanya akan ditawarkan kepada golongan tertentu seperti warga emas, komorbiditi dan petugas kesihatan.

“Pengambilan dos penggalak selepas enam bulan menerima dos kedua kepada golongan berkenaan tidak akan diwajibkan.

“Kita tidak akan paksa mereka ambil dos penggalak dan status vaksinasi mereka yang sudah lengkap ambil dua dos juga tidak akan terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa mengadakan lawatan rasmi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah HKL, Dr Rohana Johan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya optimis yakin semua negeri kecuali Sabah dapat mencapai kadar vaksinasi 80 peratus bagi individu dewasa.

“Semua negeri diunjurkan mencapai 80 peratus kadar vaksinasi bagi individu dewasa menjelang Oktober ini.

“Namun, hanya satu negeri yang sukar untuk mencapai 80 peratus iaitu Sabah berdasarkan jumlah individu dewasa yang semakin berkurangan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya.

Katanya, beliau sudah meminta Pengarah Kesihatan Sabah untuk mempertingkatkan program capaian (outreach) dan kempen.

“Sudah tidak ramai individu dewasa tidak datang ke PPV. Kita kena usahakan sumber yang ada pada kita untuk menggerakkan ‘outreach’ bagi memastikan Sabah mencapai nilai ambang 80 peratus.

“Bagi negeri lain yang masih belum merekodkan kadar 80 peratus kadar vaksinasi individu dewasa seperti Kelantan, Kedah dan Perak, kami yakin dapat mencapai kadar berkenaan pada Oktober ini,” katanya.-HM

COMMENTS