Cederakan anak, tukang paip didenda RM5,000

TAIPING — Seorang tukang paip didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan anak lelaki sulungnya pada 27 Dis lepas.

Hakim Nizam Zakaria menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohd Jamal Azrul Mohd Zainuddin, 35, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada tiga anak yang juga seorang duda itu, dipenjara selama enam bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kecederaan fizikal ke atas mangsa berusia 10 tahun di dahi, lengan kiri, dan belakang badan.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di No 1663/3D, Kampung Amam, Pokok Assam (rumah bekas isteri tertuduh yang juga ibu mangsa) di sini, pada kira-kira pukul 1 tengah hari, 27 Dis lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Siti Nor Rasyidah M. Nazri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

— BERNAMA

COMMENTS