Masuk secara haram: Lelaki warga Thailand dipenjara dua tahun, tiga sebatan

KANGAR, 5 Jan — Seorang lelaki warga Thailand dihukum penjara dua tahun dengan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana memasuki Malaysia secara haram semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk menyeludup daun ketum.

Hakim Musyiri Pet menjatuhkan hukuman itu terhadap Dah Wae Hatama, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan masuk ke negara ini tanpa memiliki pas yang sah, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 24 Nov tahun lepas.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah pondok di Batu 20 Jalan Padang Besar di sini pada 8.26 pagi 24 Nov 2020 mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan juga tidak lebih enam sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum, kerana tertuduh memasuki negara ini secara tidak sah ketika PKPB untuk melakukan aktiviti penyeludupan daun ketum, manakala peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan kerana tertuduh menyara dua anak yang masih kecil.

Bagaimanapun rakan senegaranya, Mahyee Ma-Ae mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama, yang didakwa dilakukan di sebuah rumah di Batu 22 Jalan Padang Besar, pada 8 pagi 24 Nov 2020.

Mahkamah menetapkan 1 Feb untuk sebutan semula kes bagi Mahyee yang tidak diwakili peguam itu.

— BERNAMA

COMMENTS