Berlainan agama dan bangsa, tidak halang kita saling membantu

Ihsan itu tidak mengenal bangsa dan agama, begitulah kisah sepasang suami isteri Mohamad Fakhrulzaman Abdul Malik, 57, dan Rohayati Salleh, 46, yang kini dijaga oleh sebuah keluarga berbangsa India.

Pada awalnya, Mohamad Fakhrulzaman hanya mahu menjual peti ais di rumahnya berikutan kesempitan wang kerana dia dan isteri telah hilang pekerjaan sebagai tukang masak selepas kedai tempat mereka bekerja menutup operasi.

Disebabkan kesempitan hidup dan hilang punca pendapatan, pasangan itu terpaksa menjual peti ais dan jam ta­ngan untuk menyara kehidupan serta membayar bilik sewa.

Sudah panggil ibu & ayah

Namun, seorang wanita bernama L. Linda Kasturi yang merupakan pemilik kedai perabot terpakai yang membeli peti ais tersebut, simpati melihat nasib pasangan suami isteri yang sudah berumur itu.

“Bagaimanapun, kehidupan kami berubah apabila Linda yang melihat keadaan kami telah membawa saya dan isteri ke rumahnya untuk menjaga kami…”

“Sejak awal PKP, saya diserang strok dan tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan sehingga kini…”

Bermula daripada itu, sudah hampir enam bulan Linda mengambil tanggungjawab untuk menjaga pasangan suami isteri berkenaan bagaikan ibu dan bapanya sendiri.

“Saya tinggal bersama keluarga Linda Kasturi sejak enam bulan lalu dan dijaga dengan baik. Mereka yang memberikan saya tempat tinggal dan makanan yang halal sepanjang enam bulan ini, malah mereka memanggil saya ‘ayah’ dan isteri saya, ‘ibu’…”

Sediakan ruang solat, bagi makanan halal

Jelas Mohamad Fakhrulzaman, Linda dan keluarganya berhati mulia dan menghormatinya sebagai seorang Muslim dengan memberi makanan yang halal serta menyediakan ruangan solat untuknya.

“Mereka melayan saya se­perti keluarga sendiri termasuk menyediakan ruang solat serta menghantar saya ke masjid pada hari Jumaat…”

Harap ada pihak sudi bantu

Menurut Linda, perbezaan agama tidak menjadi penghalang untuk dirinya mencurah bakti kepada pasangan tersebut malah anak-anaknya juga sudah menganggap mereka sebahagian daripada keluarga.

“Saya berharap ada pihak yang datang beri bantuan kepada mereka. Saya juga berniat untuk membina sebuah rumah di se­belah rumah ini kerana anak-anak saya sudah rapat dengan mereka…”

Difahamkan, Mohamad Fakhrulzaman dan isteri mempunyai lima anak berusia antara 7 hingga 24 tahun dan ada yang sedang me­lanjutkan pelajaran di universiti awam dan seorang lagi di sebuah madrasah di Indonesia.

Berita lanjut :

‘Biar Fakhrulzaman buat keputusan sendiri…’

“Tidak adil jika ada pihak yang cuba memisahkan mereka dengan keluarga angkat kerana pasangan itu sudah berada di situ lebih enam bulan,” kata Pengerusi Skuad Mubaligh Negeri Sembilan (SMNS), Mohd Umry Abdul Khois.

Beliau mengulas mengenai pasangan suami isteri, Mohamad Fakhrulzaman Abdul Malik, 57, dan Rohayati Salleh, 46, yang menumpang di rumah keluarga pasangan bukan Islam, R Karthik, 35, dan L Linda Kasturi, 39, di Taman Sungai Ujong, di sini.

Mohd Umry berkata, Mohamad Fakhrulzaman dan isterinya harus membuat keputusan sendiri sama ada ingin terus tinggal di rumah keluarga terbabit atau sebaliknya.

Menurutnya, pihaknya mendapat maklumat ketika ini pasangan suami isteri terbabit berasa selesa berada di rumah keluarga berkenaan walaupun berlainan agama.

“Kita harus beri ruang kepada Fakhrulzaman membuat keputusan sama ada ingin terus tinggal di situ untuk suatu tempoh tertentu atau tidak.

“Malah, kita perlu berlaku adil kerana keluarga Linda sudah menjaga pasangan itu sejak enam bulan lalu dan setakat ini diberitahu mereka tiada masalah.

“Perasaan keluarga Linda harus dijaga. Jadi saya berharap tiada mana-mana pihak cuba mempengaruhi fikiran Fakhrulzaman,” katanya kepada NSTP selepas menyampaikan sumbangan barangan kepada keluarga itu, hari ini.

Beliau berkata, kakitangan SMNS akan terus menziarah kediaman keluarga berkenaan dan membantu pasangan terbabit jika mereka inginkan sebarang bantuan.

Katanya, mereka akan berhubung serta memantau perkembangan kehidupan pasangan itu sebagai tanggungjawab bersama.

Sementara itu, jurucakap Unit Korporat Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan MAINS (PBMaiNS) berkata, berdasarkan rekod, Fakharulzaman pernah menerima bantuan am kebajikan pada 2018 dan diteruskan pada tahun ini.

Menurutnya, pihaknya sedia membantu Fakharulzaman sekiranya dia ingin mendiami rumah sewa.

“Bagaimanapun keputusan itu terpulang kepada Fakharulzaman sendiri,” katanya.

 

Sumber: Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan MAINS, HMetro & Kosmo 

COMMENTS