Lebih 11,000 penduduk P.Pinang dari kluster COVID-19 jalani ujian – Jagdeep

Sebanyak 11,245 orang dari tujuh kluster COVID-19 di Pulau Pinang telah menjalani ujian saringan COVID-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo hari ini.

Katanya, statistik berkenaan diperoleh daripada data terbuka Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini pada 9 Nov.

Beliau berkata, berdasarkan data terbuka itu, kebanyakan ujian saringan dilakukan di Kluster Penjara Seberang Perai dengan 3,167 diuji diikuti oleh kluster Penjara Reman (2,965), kluster Bayan (2,345), kluster Permatang (1,315), kluster Alma (818), kluster Intan (464) dan kluster Tembaga (171).

“Daripada 11,245 orang yang menjalani ujian, 1,292 daripadanya adalah positif,” katanya dalam sidang media selepas melakukan pemeriksaan di pasar Taman Tun Sardon di sini.

Katanya, kerajaan negeri akan sentiasa memastikan penduduk Pulau Pinang mematuhi prosedur operasi standard (SOP), terutama mereka yang berada di zon merah dan kluster COVID-19.

“Kami (Pulau Pinang) ingin menjadi contoh dalam pematuhan SOP agar kita dapat menangani wabak ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata dua Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah melakukan lebih 1.06 juta pemeriksaan premis di seluruh negeri sejak 18 Mac untuk memastikan SOP dipatuhi penduduk Pulau Pinang.

“Setakat 8 Nov, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah melakukan pemeriksaan ke atas 420,104 premis dan mencatatkan kadar pematuhan SOP 99.69 peratus.

“Sementara pemeriksaan oleh MBSP di 641,886 kawasan dan merekodkan 99.35 peratus kadar pematuhan SOP,” tambahnya.

— BERNAMA

COMMENTS