Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga petugas PKD Pekan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dua petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan, yang maut dalam nahas jalan raya semalam.

Menerusi hantaran di Facebook baginda, Al Sultan Abdullah turut bersedih dengan pemergian jururawat Julayha Kudus dan pemandu Mohd Zuhairi Abdullah.

Baginda berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini.

Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarhamah Julayha dan Allahyarham Mohd Zuhairi, kepada masyarakat dan negara serta menyifatkan pemergian mereka berdua sebagai kehilangan besar kepada Pejabat Kesihatan Daerah Pekan dan Kementerian Kesihatan.

Suasana pilu menyelubungi sekitar Unit Forensik Hospital Pekan semalam. Kelihatan Asmawi Yusoff, 45, dan mentuanya Rahimah Abdullah, 65, tidak dapat menahan kesedihan ketika menunggu jenazah isterinya, jururawat Julayha Kudus, 39. – Foto Bernama

Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah Julayha dan Allahyarham Mohd Zuhairi dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Dalam kejadian membabitkan tiga kenderaan kira-kira jam 10.30 pagi di Kilometer 32 Jalan Kuantan-Nenasi-Rompin itu, kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima mangsa lain selamat dan turut mengalami kecederaan.

Kedua-dua mangsa dalam perjalanan menghantar Pasukan Bergerak Orang Asli, PKD Pekan ke perkampungan Orang Asli untuk melakukan lawatan pemeriksaan kesihatan berkala.

 

— BERNAMA

COMMENTS