YAN | Peniaga kecewa dihalang berniaga

Sebelum ini Kerajaan Negeri Kedah telah membuat keputusan mewujudkan kawasan bebas berniaga kepada peniaga, penjaja statistik atau perniagaan kecil-kecilan di kawasan yang sesuai dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuat kuasa 15 November 2020.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini juga berkata, kawasan tersebut membabitkan pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Majlis Perbandaran Langkawi (MPL), Majlis Perbandaran Kulim (MPK) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).

Menurutnya, peniaga boleh merujuk dan mendapatkan kelulusan daripada PBT yang terlibat berhubung lokasi berniaga terpilih atau yang dibenarkan pada Ahad ini.

Apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya apabila pihak UtaraDaily menerima rungutan dari para peniaga di daerah Yan dan Guar Chempedak yang memaklumkan bahawa mereka telah dihalang untuk berniaga. Sebelum ini para peniaga di kawasan tersebut dimaklumkan bahawa mereka belum dibenarkan berniaga kerana pihak PBT ingin membuat penyusunan peniaga terlebih dahulu. Tetapi sehingga kini mereka tidak lagi diberi kebenaran untuk menjalankan perniagaan.

Para peniaga turut menyatakan kekesalan kerana tapak perniagaan yang dipohon mereka adalah di kawasan lapang di hadapan masjid dan tidak langsung menghalang lalu lintas. Mereka turut mempersoalkan bahawa sebelum ini semasa pemerintahan kerajaan PH di Kedah, mereka tidak langsung dihalang untuk menjalankan perniagaan di lokasi tersebut.

Rungutan juga dinyatakan ke atas tindak tanduk Ahli Majlis di kawasan berkenaan yang dikhabarkan tidak menjalankan tugas dengan baik dan terlalu keras serta tiada tolak ansur dengan para peniaga disaat rakyat sedang bergelut dengan ekonomi yang suram akibat dari pendemik Covid-19.

Malah ada sebahagian dari peniaga menyatakan kekesalan dengan sikap seorang imam yang merangkap Ahli Majlis di kawasan berkenaan dikatakan memberikan arahan sesuka hati dan tidak langsung mencerminkan akhlak seorang imam yang sepatutnya lebih faham dengan situasi yang dihadapi oleh semua orang pada ketika ini.

“Tok Imam pun asyik nak tunjuk kuasa dia..tahu la dia Ahli Majlis tapi jangan la layan kami macam ni. Kami ada keluarga nak sara, kami bukan mencuri, bukan minta sedekah..kami nak cari rezeki halal. MB Sanusi dah habaq kata boleh meniaga asalkan tidak dilokasi yang bahaya..dulu kami meniaga elok-elok saja di sini..awat sekarang Tok Imam duk kalut tak bagi kami meniaga?” ujar Abang Mat, salah seorang peniaga kepada UtaraDaily.

Menurut seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Kak Ayu, beliau melahirkan rasa sedih dan terkilan dengan apa yang terjadi kepada mereka. “Kami ni bukan mau duk nak politik sangat..kami nak cari makan..ada anak-anak kecil kat rumah..ada sewa rumah nak kena bayar..sedih la kalau macam ni..sebelah tepi jalan tu depa meniaga boleh pula..kami kat sini depa tak bagi meniaga..PBT kena la adil dalam buat kerja..tak kira la kerajaan PH ker PN ker kena la jaga rakyat..La ni kata kerajaan Islam Pas..macam ni ker kerajaan layan kami?”

COMMENTS