Amanah terima segala keputusan Sultan Perak

Tiada parti yang mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan di Perak, kata Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin.

Bagaimanapun katanya, dia yakin dengan kebijaksanaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dalam menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Jelasnya, Amanah menerima segala keputusan yang akan diperkenankan Sultan Perak nanti.

“Untuk pengetahuan, tiada satu pun parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri (BN:25, DAP:16, Amanah:5, PPBM:5, PKR:3, PAS:3, Gerakan:1 dan Bebas:1).

“Justeru itu, untuk membentuk kerajaan negeri, satu gabungan diperlukan agar kerajaan yang terbentuk nanti mempunyai kedudukan yang kukuh dan stabil untuk menerajui negeri Perak

“Setakat ini hanya gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat seiringan yang mana kami mempunyai 24 Adun tetapi tidak mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan yang mana memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN,” katanya pada satu kenyataan media hari ini.

Semalam, Adun Chenderiang yang juga Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya.

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya, satu undi rosak atau berkecuali.

Dengan itu, Ahmad Faizal akan berundur daripada jawatannya sebagai menteri besar.

Usul tersebut dibawa Adun Pengkalan Baru dari Umno, Abd Manaf Hashim. Asalnya usul tersebut disenarai untuk dibahaskan selepas pembentangan Belanjawan 2021 Perak.

Sementara itu, Nizar berkata tumpuan utama parti terbabit kini terarah kepada isu Covid-19 yang dihadapi rakyat.

“Saya berkeyakinan yang mana dengan kebijakkan dan perkenan Sultan Perak dapat menyelesaikan kemelut ini disamping Amanah Perak akan merujuk kepada presiden parti dan Majlis Pimpinan PH berkaitan isu ini dan keutamaan kami (PH) adalah kesejahteraan rakyat yang terkesan dalam suasana pandemik Covid ini.

“Amanah Perak serta rakan-rakan dalam PH Perak akan menjunjung kasih apa jua keputusan yang diperkenan oleh Sultan Perak kelak demi kesejahteraan rakyat dalam suasana pandemik Covid-19 ini.

“Diharapkan kerajaan yang baru dibentuk nanti dapat membantu meringankan penderitaan rakyat Perak keseluruhan yang terkesan seperti pengangguran, masalah ekonomi, kesihatan dan sebagainya,” katanya.

 

sumber – malaysiakini.com

COMMENTS