Ada nama lain selain Anwar Ibrahim?

Pemimpin-pemimpin utama parti politik dalam Pakatan Harapan dan blok pembangkang perlu segera menyelesaikan hal calon ketua gabungan besar pembangkang serta bakal calon Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pemimpin pembangkang perlu mengadakan perbincangan untuk menentukan siapa yang wajar dipilih.

“Tidak boleh tunggu lama-lama… kena selesaikan segera,” lapor Malaysiakini.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap calon yang terbaik sebagai Perdana Menteri dari blok pembangkang.

“Anwar selaku ketua pembangkang wajar diangkat sebagai calon Perdana Menteri gabungan besar PH Plus dan parti-parti pembangkang lain,” jelasnya.

Reaksi wakil rakyat dari PKR itu susulan kegagalan pembangkang menghalang Perikatan Nasional (PN) daripada terus menjadi kerajaan dengan lulusnya Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Hassan pemilihan pemimpin pembangkang itu adalah proses demokrasi dan beliau hanya mengangkat pendiriannya sendiri apabila menamakan Anwar.

Tambahnya, kerjasama PH dengan parti pembangkang lain pada masa sama juga perlu dimantapkan serta wadah bersama perlu dirangka.

“Bina naratif yang jelas mengapa dalam PRU ke-15 nanti, rakyat Malaysia patut sokong PH dan gabungan baru yang berteraskan PH dengan Anwar sebagai calon PM,” kata Hassan lagi.

Semalam, Parlimen meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat dengan sokongan 111 berbanding 108 undi pembangkang.

Keputusan itu dilihat bertentangan dengan dakwaan 10 ahli Parlimen Umno berpaling untuk menyokong pembangkang sekali gus menggagalkan cubaan menjatuhkan kerajaan PN.

Anwar dalam reaksinya berpendapat, hal itu tidak banyak menambah keyakinan terhadap kerajaan PN yang akan terus berdepan dengan masalah keyakinan apabila hanya berjaya mempunyai tidak lebih dari 112 sokongan.

“Kerajaan lemah seperti ini akan terus tunduk kepada watak-watak rakus yang berkepentingan dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.

Berita Penuh: MalaysiaDateline

COMMENTS