Daging dari Australia disita di Butterworth

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas lebih 13 tan daging kambing sejuk beku selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini kelmarin.

Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, operasi kira-kira pukul 5.45 petang itu dilakukan selepas pihaknya mendapati maklumat yang dikemukakan pengimport tidak tepat dan mengelirukan seperti yang dinyatakan pada syarat-syarat di dalam permit import Maqis.

Sehubungan itu, ujar beliau, pihaknya merampas kira-kira 13,651 kilogram (kg) daging kambing sejuk beku dari Australia itu yang dianggarkan bernilai RM365,917.45 bagi tindakan lanjut.

“Siasatan mendapati daging sejuk beku berkenaan adalah jenis ‘boneless mutton leg’ seberat 6,020 kg; ‘boneless mutton trunk’ (5,630 kg) dan ‘mutton tribe’ (2,001 kg),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Sumber– UTUSAN

COMMENTS