PANAS | Air Kedah ‘haram’ untuk Pulau Pinang, tolong cari sumber lain!

PAS Kedah memberi sokongan penuh atas gesaan YAB Menteri Besar Kedah, Haji Muhammad Sanusi Md Nor supaya Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP membayar kepada Kerajaan Negeri Kedah sebanyak RM50 juta setahun ke atas setiap penggunaan sumber air sebanyak 1,100 juta liter padu (MLD) sehari berbanding penggunaan Negeri Kedah hanya sebanyak 800,000 liter padu sehari.

Difahamkan tuntutan ini telah dibuat sejak tahun 2010 namun keangkuhan pimpinan Negeri Pulau Pinang untuk mempertimbangkan perkara ini adalah amat mengecewakan. Malah pula surat tuntutan rasmi yang dihantar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah tidak dilayan.

PAS Kedah mempersoalkan dari sudut moral apakah ‘halal’ bagi pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat manfaat sedangkan Negeri Kedah melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA) saban tahun terpaksa membuat bayaran kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah sebagai rasa tanggungjawab terhadap pemuliharaan dan penggunaan sumber air mentah tersebut.

Usaha Kerajaan Negeri Kedah dan usaha keras Menteri Besar di dalam memelihara kelestarian dalam penerokaan mineral berskala besar ini (REE) ‘Rare Earth Elements‘ di Ulu Muda, Sik dan Baling telah menolak tomahan yang dilemparkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah memberi jaminan bahawa operasi ini tidak akan mengganggu ekosistem yang sedia ada.

Sehubungan itu PAS KEDAH mencadangkan agar Pulau Pinang dan DAP khususnya berusahalah mencari sumber air yang baru untuk mendapat manfaat secara percuma. Anggaplah sumber yang sedia ada adalah kurniaan Allah untuk rakyat Negeri Kedah.

“اسلام ممڤركوكوه ڤرڤادوان”

USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
25 Rabiul Akhir 1442H | 11 Disember 2020 – HARAKAHDAILY 11/12/2020

Sumber : https://harakahdaily.net/index.php/2020/12/11/pulau-pinang-perlu-bayar-air-kedah/

COMMENTS