Siapa berani ambil tindakan terhadap Ku Li ???

Bekas menteri Mohamed Nazri Abdul Aziz berpendapat tiada tindakan perlu diambil Umno ke atas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamza di sebalik tindakannya bersama pembangkang cuba menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Kata Nazri hal itu kerana jumlah ahli parlimen Umno ketika ini tidak ramai.

Justeru katanya tindakan seperti memecat Tengku Razaleigh hanya akan menyebabkan jumlah ahli parlimen Umno berkurangan.

“Kalau jumlah kita (Umno) besar bolehlah kita nak buang orang dan ini bukan era buang orang,” katanya yang dipetik Sinar Online.

Nazri yang juga ahli parlimen Padang Rengas menambah, keadaan berbeza jika semasa pilihan raya Tengku Razaleigh berkempen melawan Umno.

“Itu lain,” katanya.

Tengku Razaleigh pada 14 Dis lalu berkongsi sidang media dengan Dr Mahathir Mohamad untuk mengajak ahli parlimen mengundi menolak Belanjawan 2021.

Sebelum ini belanjawan berkenaan diluluskan pada peringkat dasar ketika orang ramai menjangkakan berlaku pertentangan sengit sekali gus meletakkan jawatan Muhyiddin Yassin di ambang kejatuhan.

Semasa dibahas dan diundi di peringkat jawatankuasa, peruntukan bagi semua kementerian juga diluluskan dengan undi majoriti, dengan sesetengahnya dibezakan undi yang tipis.

Undian di peringkat bacaan ketiga pada 15 Dis lalu adalah peluang terakhir pembangkang menjatuhkan kerajaan PN melalui undian belanjawan. Bagaimanapun di sebalik kesepakatan pembangkang menolaknya, ia masih memihak kepada PN dengan undian 111 bersetuju berbanding 108 menolak.

Tengku Razaleigh sendiri tidak hadir semasa pengundian berlangsung. Untuk rekod veteran Umno itu menganggap kerajaan PN dan Muhyiddin tidak memiliki keabsahan sepatutnya.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan semalam mengecam Tengku Razaleigh dan menganggapnya mengelirukan ahli dan gagal menghormati disiplin parti.

Nazri sebaliknya berpendapat Tengku Razaleigh tidak mengelirukan ahli Umno kerana sebenarnya ahli parlimen bebas membuat keputusan mengikut pertimbangan masing-masing.

Malah katanya kerajaan PN sekarang pun ditubuhkan hasil sokongan ahli parlimen Umno bersama parti lain.

“Jadi ahli Parlimen bebas untuk membuat keputusan sendiri. Masa kita tubuhkan kerajaan dahulu, bukan parti yang membuat keputusan.

“Ahli Parlimen berkumpul beramai-ramai kemudian kita setuju dan maklumkan kepada Majlis Tertinggi Umno,” katanya.

Sumber- Malaysiakini

COMMENTS