Shahidan berlepas tangan terhadap isu Kampong Bharu
Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim di Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak akan masuk campur dalam pembangunan Kampong Bharu dan membiarkan pemilik tanah berurusan sendiri dengan pemaju adalah satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab dan menjengkelkan.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asaád Khuzami berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan tersebut memandangkan Menteri Wilayah itu sepatutnya menjaga kebajikan dan hal ehwal rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan.
“Amanah Wilayah Persekutuan kesal dengan kenyataan tersebut yang secara langsung memberikan mesej bahawa kerajaan yang kononnya mewakili ‘Keluarga Malaysia’ ini ingin berlepas tangan dalam perkara penting yang melibatkan kebajikan dan urusan hartanah milik penuh orang Melayu di kawasan segi tiga emas di bandar raya Kuala Lumpur.
“Sekiranya itulah pendirian yang diambil oleh kerajaan, Amanah Wilayah Persekutuan mempersoalkan apakah fungsi dan peranan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) yang ditubuhkan dan diberikan bajet yang besar setiap tahun.
“Ia kerana fungsi utama PPKB ini seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 14 Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (Akta 733) ialah untuk mengurus, menyelaras dan membantu para pewaris dan pemilik tanah dalam segala urusan yang melibatkan pembangunan Kampong Bharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Ahmad Zamri, jika kerajaan mengambil sikap mudah membiarkan segalanya diuruskan oleh pemilik tanah dan pemaju, beliau mencadangkan agar lebih baik PPKB ditutup dan dimansuhkan kerana ia hanya membazirkan duit rakyat dan tidak berfungsi sepertimana objektif utama penubuhannya di bawah Akta 733 tersebut.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut mempersoalkan peranan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun yang sehingga hari ini masih diam membisu dan gagal memberikan apa-apa solusi atau menyuarakan permasalahan pemilik serta pewaris tanah Kampong Bharu berkenaan hala tuju pembangunan di kawasan tersebut meskipun kini bergelar menteri.
“Berbeza dengan konsep pembangunan yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini dengan harga RM1,000 sekaki persegi yang ditawarkan dan empat model pembangunan yang dicadangkan serta beberapa kelebihan lain yang telah pun mendapat persetujuan sebahagian besar pemilik tanah.
“Rakyat melihat bahawa kerajaan hari ini masih gagal untuk menawarkan satu bentuk perancangan ataupun mekanisme pembangunan yang komprehensif dan terbaik di Kampong Bharu.
“Akhirnya menteri dengan mudah berlepas tangan dan tidak langsung menjaga kebajikan serta kepentingan penduduk dengan menyerahkan segalanya kepada pemilik untuk berurusan sendiri dengan pemaju di samping ugutan untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960,” katanya.
Ujar beliau, sikap tersebut amat dikesali dan pihaknya percaya rakyat akan mengajar kerajaan yang tidak bertanggungjawab ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan datang.
Kredit : SinarHarian