Sanusi MB “biadap” – Papagomo

Tindakan tegas kerajaan Kedah merobohkan rumah ibadat yang dibina di atas tanah negeri adalah wajar, kata Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Dia yang juga dikenali sebagai Papagomo bagaimanapun menyelar perumpamaan todi daripada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang digunakan terhadap pemimpin MIC dan DAP.

Azri berkata kenyataan Sanusi itu “biadab dan tidak beretika sama sekali.”

Dalam kenyataan itu, menteri besar Kedah menegur, termasuk kepada MIC dan DAP supaya jangan sampai mereka bergaduh pada masa depan hanya kerana ‘mabuk todi populariti’ dan mahu menunjuk jaguh kaum pada masa sekarang.

Sanusi juga menyindir,” senior politician (ahli politik kanan) seperti mereka itu janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol.”

Pemimpin MIC mengatakan komen Sanusi itu ‘menjengkelkan’ dan menteri besar itu tidak sensitif.

Menurut Azri (gambar, bawah) pula, Sanusi patut malu dengan kenyataan yang dibuat kerana ini bukan sahaja mengambarkan “sikap angkuh kerajaan negeri malah mengambarkan seorang pemimpin Melayu Islam yang begitu celupar mulut membuat hinaan kepada kaum India.”

“Saya harap menteri besar Kedah dapat membuat permohonan maaf kepada seluruh masyarakat India di atas percakapaannya yang jelas melemparkan penghinaan kepada masyarakat India Malaysia,” katanya pada satu kenyataan.

Azri juga berharap rakyat Malaysia berbilang bangsa dapat bertoleransi antara satu sama lain dalam apa isu sekalipun.

“Tidak ada masaalah yang tidak dapat diselesaikan dan kita yang pelbagai kaum hidup di Malaysia ini telah sama sama membangunkan negara ini hingga menjadi contoh kepada dunia dalam kemajmukan kaum yang ada,” katanya lagi.

Pun begitu Azri menyokong perobohon kuil berkenaan.

Pada Selasa, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah.

Kuil yang dipercayai berusia lebih 50 tahun itu dirobohkan selepas tapak tersebut – yang dimiliki kerajaan negeri – mahu dibangunkan.

Selain kuil itu, sebuah dewan silat dan lima kawasan parkir turut dirobohkan untuk dibina gelanggang futsal.

“Saya menyokong tindakan meroboh kuil yang dibina atas tanah kerajaan kerana sepertimana yang kita tahu isu kuil ini bukan lah satu isu yang baru yang mana telah berlaku saban tahun dan boleh dikatakan melibatkan hampir semua negeri.

“Memang sewajarnya tindakan tegas diambil kepada semua rumah ibadat haram agar dimasa depan tidak menimbulkan konflik yang akhirnya menjerumus kepada perbalahan perkauman dan agama sepertimana yang berlaku di negeri Selangor tahun 2018 di kuil Sri Maha Mariamman,” kata Azri lagi.

Bantahan di luar kuil Sri Maha Mariamman mengakibatkan kematian seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Mahkamah koroner memutuskan bahawa kematiannya berpunca daripada tindakan jenayah.

Berita Penuh: MalaysiaKini

COMMENTS